Jumaat, Julai 22, 2016

PM TIDAK DISIASAT OLEH JABATAN KEHAKIMAN AMERIKA SYARIKAT

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak hari ini menegaskan kenyataan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat yang dikeluarkan pada Rabu jelas menyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak disiasat oleh pihak berkuasa negara itu.

"Ia (siasatan) tiada kaitan dengan Najib. Apa yang disiasat adalah berkaitan 'money laundering' (pengubahan wang haram) ke atas tiga individu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Persatuan Komunikasi Pasifik dan Asia (Paca) di Universiti Putra Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata Peguam Negara Amerika Syarikat Loretta Lynch dengan jelas menyatakan bahawa mereka hanya menyiasat tiga individu yang dinamakan dalam kenyataan dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman.

"Ia amat jelas, saya fikir peguam negara Amerika telah menyatakan dengan amat jelas dalam kenyataannya bahawa mereka tidak menyiasat orang lain tetapi tiga individu itu," katanya.

Salleh turut menyangkal dakwaan mengenai konspirasi antarabangsa terhadap Malaysia susulan laporan tentang tindakan pihak berkuasa Amerika Syarikat berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Apa pula konspirasi? Mereka hanya menjalankan tugas mereka. Apabila ada laporan, mereka mengendalikannya berdasarkan undang-undang dan peraturan negara mereka.

"Tugas kami di sini adalah untuk menjelaskan situasi itu. Bagi kami, di Malaysia kami telah
mengendalikan isu 1MDB dengan agak baik. Kami benarkan orang ramai menyatakan pandangan mereka," katanya.

Salleh berkata pihak berkuasa Amerika menyiasat sama ada berlaku pengubahan wang haram yang berkaitan dengan sistem perbankan mereka berikutan transaksi telah berlaku di negara itu.

"Mereka perlu memastikan pengubahan wang haram tidak berlaku kerana ia melibatkan pelbagai negara lain berkaitan dengan transaksi itu.

"Saya fikir mereka bimbang tentang sistem perbankan di Amerika Syarikat dan mereka melihat dari sudut itu. Biar mereka siasat," katanya.

Salleh juga berkata tiada apa yang mahu disembunyikan oleh kerajaan Malaysia berkaitan dengan apa yang telah dilakukan dalam 1MDB berikutan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah selesai menjalankan siasatan.

"Bagi kami, tiada apa untuk disembunyikan. Bagi perkara berkaitan 1MDB, kami mempunyai laporan PAC, kami telah membincangkan secara mendalam perkara itu dan tindakan akan diambil berdasarkan laporan PAC," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai 'Malaysia Official 1' dinyatakan dalam kenyataan Jabatan Kehakiman itu, Salleh berkata ia hanya sekadar dakwaan oleh pengadu.

"Kami telah dengar mengenainya sejak lama dahulu. Ia apa yang dikatakan oleh pengadu. Anda perlu ingat bahawa ia bukan apa yang dikatakan oleh peguam negara.

"Itu pengadu yang kata, tetapi mereka merumuskan yang mereka mahu menyiasat tiga individu sahaja," kata Salleh.

-- BERNAMA

BANTUAN KHAS RISDA SELESAI SEPTEMBER INI

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah dijangka selesai diagih kepada pekebun kecil berkenaan selewat-lewatnya akhir Sept ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata setakat ini sebanyak 97,000 pekebun kecil telah berdaftar untuk mendapatkan bantuan yang diagihkan melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) itu.

"Saya telah umumkan seramai 84,000 orang sudah mendaftar namun kini ia meningkat kepada 97,000 dan dijangka akan berterusan dari semasa ke semasa," katanya kepada pemberita pada Majlis Moh Beraya bersama Risda di ibu pejabat Risda di sini, Khamis.

PERKASA KEKAL SEBAGAI NGO

KUALA TERENGGANU, 21 Julai (Bernama) -- Presiden Persatuan Pribumi Perkasa (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali menegaskan bahawa persatuan itu akan terus menjadi badan bukan kerajaan (NGO) dan bukannya parti politik.

Bagaimanapun katanya, pendirian itu boleh berubah suatu masa kelak kerana Perkasa masih tertakluk kepada keputusan persidangan agung tahunan.

"Sekarang tak timbul isu Perkasa akan jadi parti politik, tetapi ia terpulang kepada ahli Perkasa melalui persidangan agung tahunan.

"Katakanlah pada masa akan datang saya dah tak jadi presiden dan ada usul dalam kepimpinan supaya Perkasa ditukar jadi parti politik...kemungkinan akan jadi sebab keputusan tukar kepada parti politik bukanlah keputusan presiden dan ahli dewan tertinggi tetapi terletak pada keputusan persidangan agung tahunan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa Perkasa di sini hari ini.

Pada sidang media itu, Ibrahim turut mengumumkan pelantikan bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said sebagai Yang Dipertua Perkasa Terengganu menggantikan Datuk Ismail Samah berkuat kuasa hari ini.

Ibrahim berkata Perkasa akan terlibat dengan parti politik atas kepentingan bangsa dan agama meskipun NGO itu bukanlah sebuah parti politik.

Mengulas mengenai pelantikan itu, Ibrahim berkata pelantikannya dibuat atas keputusan sebulat suara Perkasa negeri yang mahukan Ahmad Said menerajui Perkasa di negeri ini.

"Beliau akan membuat sedikit rombakan bagi memperkukuh barisan kepimpinan dan Insya-Allah selepas ini saya percaya Perkasa negeri ini akan seiring ataupun akan lebih hebat daripada Perkasa negeri-negeri lain,"katanya.

-- BERNAMA

Khamis, Julai 21, 2016

DAP GELABAH MAHU ADAKAN PILIHANRAYA MENGEJUT

GEORGE TOWN, 20 Julai (Bernama) -- Cadangan mengadakan pilihan raya mengejut negeri jelas menunjukkan bahawa kerajaan DAP Pulau Pinang dalam keadaan gelabah, kata Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Fauzi Mohd Yusof.

Beliau berkata Ketua Menteri Lim Guan Eng sepatutnya menunggu sehingga mahkamah membuat keputusan terhadap dua pertuduhan yang dihadapinya.

"Tindakan kerajaan negeri ini seolah-olah macam DAP yakin bahawa pendakwaan terhadap Lim itu akan lekat (disabit kesalahan). Tindakan ini juga seolah-olah nak selamatkan Lim dan DAP.

"Kami melihat dalam isu ini sepatutnya DAP tak buat tindakan yang mendatangkan masalah kepada rakyat ... buat satu perkara yang menyebabkan rakyat menjadi mangsa," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini

Beliau berkata pilihan raya negeri yang akan diadakan itu sudah pasti akan melibatkan perbelanjaan yang besar.

"Rakyat juga akan menghadapi dua pilihan raya, iaitu pilihan raya negeri dan Parlimen. DAP mengambil jalan untuk mengadakan sesuatu yang boleh mendatangkan masalah sehingga boleh menyebabkan prestasi DAP, ketua menteri terhakis dalam pilihan raya akan datang," katanya.

Dalam pada itu, Fauzi berkata PAS Pulau Pinang sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan akan bermesyuarat untuk membincangkan perkara itu dengan lebih lanjut.

Laporan media baru-baru ini memetik Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P. Ramasamy sebagai berkata DAP menyenaraikan dua pilihan sebagai respons kepada dua tuduhan rasuah yang dikenakan terhadap Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Pilihan pertama ialah mengadakan pilihan raya mengejut dan pilihan kedua ialah menunggu pilihan raya umum akan datang.

Pada 30 Jun lepas, Lim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini, terhadap dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Turut didakwa bekas pemilik banglo, Phang Li Koon, yang juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan Lim bagi mendapatkan untuk diri Lim lot tanah dan rumah itu.

-- BERNAMA

Rabu, Julai 20, 2016

UMNO TERENGGANU TIDAK TERGUGAT DENGAN PARTI BAHARU

UMNO Terengganu tidak akan tergugat meskipun dengan penubuhan parti baharu oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kelak.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri yang juga Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkata UMNO adalah sebuah parti yang kukuh dan yakin ia akan mendapat sokongan yang berterusan daripada setiap anggota parti termasuk di peringkat akar umbi.

"Ini bukan pertama kali berlaku dalam UMNO. Dahulu pun masa Datuk Onn Jaafar menubuhkan Parti Negara, UMNO tetap teguh. Begitu juga dengan penubuhan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Semangat 46.

"Pada saya parti serpihan (UMNO) yang ditubuhkan atas dasar kekecewaan ia tidak akan ke mana-mana kerana rakyat yang memberi sokongan yakin dengan UMNO bahawa ia adalah relevan untuk dahulu, kini dan selamanya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan stesen radio Manis FM di sini hari ini.

Khamis lepas, Dr Mahathir mengumumkan beliau akan menubuhkan parti baharu yang akan menjadi sebahagian daripada komponen pakatan pembangkang bagi menghadapi PRU ke-14.

Di KUALA LUMPUR, Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) melihat hasrat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan parti baharu, sebagai usaha sia-sia malah parti itu tidak akan kekal lama.

Presidennya Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata penubuhan sesebuah parti perlu berasaskan kepada perjuangan dan bukan bersifat peribadi.

"Bagi saya kalau ada yang berjuang hanya untuk kepentingan peribadi berbentuk serangan peribadi ia tidak lama.

"Perjuangan mestilah berasaskan kepada ideologi," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Pelajar Program Parlimen Mahasiswa Kali Kedua 2016 di sini hari ini.

Jelas Abdul Aziz, Mubarak bersifat terbuka terhadap mana-mana bekas pemimpin yang mahu menubuhkan parti baharu memandangkan negara mengamalkan sistem demokrasi.

"Soalnya sekarang adakah parti itu efektif. Jika Tun Mahathir mahu tubuh parti maka beliau boleh teruskan," katanya.

Mengenai persidangan Parlimen Mahasiswa yang akan diadakan pada 26 dan 27 Julai ini, Abdul Aziz berkata persidangan kali ini turut disertai enam institusi pengajian tinggi swasta termasuk 20 institusi pengajian tinggi awam tempatan.

"Seramai 210 perwakilan akan bersidang kali ini. Kami (Mubarak) syorkan universiti terlibat memberi peluang kepada semua kaum dan jantina," katanya.

Katanya usul-usul perbahasan adalah bersifat kontemporari yang dihadapi perwakilan yang juga mahasiswa mewakili institusi pengajian tinggi masing-masing.

"Sebelum bersidang, perwakilan akan menyertai bengkel selama tiga hari bermula 23 Julai ini. Pada bengkel tersebut prestasi pencapaian mereka juga akan dinilai barisan panelis diketuai Ketua Penerangan Mubarak, Tan Sri Abdul Rahman Sulaiman," katanya.

-- BERNAMA

UMNO SABAH MAKIN KUAT

KOTA KINABALU, 19 Julai (Bernama) -- Ketua Penerangan UMNO Malaysia Tan Sri Annuar Musa yakin UMNO Sabah akan bertambah kuat selepas mengharungi pelbagai cabaran semasa parti, termasuk yang terbaharu, tindakan beberapa pemimpin cawangan dan bahagian di Semporna mengisytiharkan keluar daripada UMNO.


Kebiasaannya, kata Annuar, setiap kali berhadapan dengan cabaran, UMNO akan bertambah kuat dan kukuh kerana apapun yang berlaku akan dijadikan pengajaran oleh anggota serta kepimpinan parti.

"Daripada apa yang dapat perhatikan, semangat sangat tinggi di kalangan jentera parti (di Sabah) dan saya percaya barangkali kadang-kadang bila ada yang berlaku pada kita, antibodi bertambah kuat. Saya meramalkan begitu. Saya meramalkan UMNO Sabah akan menjadi semakin kuat.

"Dia (UMNO Sabah) menjadi lebih bersiap siaga, menyedari situasi yang berlaku kerana dia (UMNO) menjangkakan akan ada ancaman baharu yang datang. Ini memperteguhkan UMNO Sabah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua penerangan UMNO peringkat negeri Sabah Isnin malam.

Turut hadir pada majlis yang dihadiri lebih 100 jentera penerangan parti dari seluruh Sabah itu ialah Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Sapawi Ahmad.

Menurut Annuar cabaran yang dihadapi UMNO Sabah sekarang yang melibatkan satu bahagian sahaja bermasalah, jauh lebih kecil berbanding dengan yang pernah dihadapi UMNO Kelantan suatu ketika dahulu apabila krisis dalaman parti bersifat menyeluruh sehingga memaksa UMNO Kelantan membina semula kekuatannya bermula daripada kosong.

Beliau berkata sokongan rakyat serta anggota parti kepada UMNO Sabah juga tidak akan mudah goyah kerana rakyat dan kepimpinan politik Sabah banyak belajar daripada beberapa episod krisis politik di negeri itu pada masa lalu sehingga UMNO muncul sebagai faktor penyatu kepada rakyat di Sabah dan membawa kestabilan politik di negeri berkenaan.

Katanya dengan adanya kestabilan politik, banyak perkara dapat dilakukan untuk membangunkan Sabah demi kebaikan dan kemakmuran rakyat negeri itu.

"Saya fikir rakyat Sabah sangat-sangat menghargai (kestabilan politik ini) dan ini menjadi satu petanda yang sangat baik bagi Sabah sebab akhirnya yang penting itu rakyat... rakyat Sabah mesti mendapat yang terbaik. Jadi semangat itu, insya-Allah, akan memberi peluang kepada rakyat Sabah menikmati kemajuan yang lebih besar," katanya.

Sehubungan itu Annuar memuji kepimpinan UMNO Sabah yang mampu membina UMNO sehingga menjadi sebuah parti yang kuat di Sabah dengan anggotanya mempunyai semangat dan penghayatan terhadap perjuangan parti yang amat tinggi.

-- BERNAMA

MP RAUB MINTA MAAF KEPADA IBRAHIM ALI

SHAH ALAM, 19 Julai (Bernama) -- Kes saman fitnah yang difailkan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali terhadap Anggota Parlimen Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz selesai selepas wakil rakyat DAP itu mengemukakan permohonan maaf di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.

Saman itu difailkan berikutan artikel Mohd Ariff Sabri menerusi laman blog beliau bertajuk "Keadaan Negara Kita Hari Ini-Siri 2? diterbitkan 29 Sept tahun lepas, yang mendakwa Ibrahim dilantik sebagai pengarah syarikat George Kent (M) Bhd yang terlibat dalam projek pembinaan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT).

Mohd Ariff Sabri selaku defendan membacakan kenyataan permohonan maaf itu kepada Ibrahim di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi See Mee Chun

Selasa, Julai 19, 2016

KU LI MUKTAMAD TIDAK AKAN BERTANDING LAGI

 Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Raza­leigh Hamzah menetapkan pendirian untuk tidak lagi bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).


Bekas Menteri Kewangan itu berkata, sudah terlalu lama beliau menjadi wakil rakyat bagi kawasan Parlimen Gua Musang iaitu 45 tahun dan tiba masanya untuk beliau berundur walaupun rakyat masih menyukainya.

Veteran UMNO itu berkata, hasrat tersebut juga sudah beberapa kali dinyatakan dalam mesyuarat bulanan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian tetapi majoriti tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan.

“Saya kata tidak boleh tongkat langit, saya sudah lama sangat... sudah 45 tahun jadi wakil rakyat, manakala menerajui UMNO Bahagian pula sudah dekat 60 tahun.

“Usia saya telah mencecah 80 tahun, sudah tidak mampu lagi hendak pikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan tiba masanya ada orang lain ganti,” katanya selepas Majlis Mesra Aidilfitri peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di pekarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Lah di Gua Musang dua hari lepas.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Datuk Mat Yusoff Ab. Ghani: Setiausaha UMNO Bahagian, Tuan Mustapha Tuan Soh dan Ketua Penerangan UMNO Bahagian, Mohd. Syahbudin Hashim.

Tengku Razaleigh menegaskan, bukan beliau seorang sahaja yang layak memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen kawasan itu tetapi ramai lagi yang boleh dijadikan pilihan rakyat.

Beliau berkata, hasrat persaraannya itu juga pernah diumumkan kepada rakyat di kawasan Parlimen Gua Musang sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.

“Saya sudah maklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini untuk berundur kerana telah terlalu lama menjadi wakil rakyat.

“Tetapi majoriti masih mahu saya menerajui UMNO dan menjadi wakil rakyat kerana alasannya mereka takut kawasan ini hilang dan jatuh ke tangan pembangkang.

“Sebenarnya perkara ini tidak bergantung kepada saya, kawasan ini akan selamat selagi ada perpaduan dan kerjasama. Saya rasa tidak menjadi masalah jika saya membuat keputusan berundur pada PRU-14 akan datang,” katanya.

Isnin, Julai 18, 2016

MENCARI PENGGANTI AHMAD SAID DI DUN KIJAL

Dua hari lepas heboh senarai barisan kepimpinan parti baharu Dr Mahathir diumumkan dalam Facebook yang bakal diketuia oleh Muhyiddin Yassin. Namun demikian beberapa nama seperti Ghani Patail sudah menafikannya.

Zeti Akhtar Aziz dan Wahid Omar yang tidak minati politik belum menafikannya lagi tetapi bekas MB Terengganu, Ahmad Said telah mengesahkan kepada kawan saya bahawa beliau akan menyertai parti baharu itu.

Jika Ahmad Said keluar dari Umno, kedudukan ADUN PAS dan BN seri 16-16 dan dengan ditambah kerusi Speaker maka BN masih menguasai Terengganu. Kecuali ada ADUN lain menyertai Ahmad Said, barulah kerajaan BN tumbang dan kemungkinan kerajaan BN dibubarkan untuk memberi laluan kepada pilihanraya negeri (PRN)  Terengganu.

Jika berlaku PRN siapakah yang layak bertanding mewakili BN untuk mempertahankan DUN Kijal? Ini yang akan dibincangkan dalam posting ini. Pegawai khas MB, Haji Mustapa Abdul Rahman yang diamanahkan menjaga DUN Kijal dikatakan akan dipilih sebagai calon BN untuk menentang calon PAS dan calon parti baharu, Ahmad Said.

Tidak mungkin Haji Pa dipilih kerana DUN Kijal bukan kampungnya. Sebaliknya jika beliau mahu aktif dalam politik, sudah tentu beliau bertanding di DUN Kemasik menggantikan Ir Rosli yang merupakan orang Ahmad Said.

Keberanian Haji Pa merombak pengerusi JKKK adalah langkah berani wakil MB itu untuk mengembalikan jawatan itu kepada ketua cawangan yang disingkirkan oleh Ahmad Said sebelum ini.

Ada pula yang berpendapat bahawa calon terbaik untuk menentang Ahmad Said ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Ahmad Shabery Cheek. Mereka pernah bertembung dalam PRK Kijal pada tahun 1990 di mana Shabery mewakili Semangat 46 menentang Ahmad Said. Jika parti arahkan Shabery bertanding, Shabery tidak mungkin menerima arahan ini kerana beliau terhutang budi kepada Ahmad Said yang menaikkannya dari nobody kepada timbalan ketua bahagian Umno Kemaman pada pemilihan tahun 2000.

Shabery kalah bertanding ketua pemuda pada tahun 1998 tetapi Ahmad Said mempelawa Shabery beregu dengannya pada tahun 2000 untuk menentang team pemangku ketua bahagian, Abu Bakar Ali di mana team Ahmad Said sapu bersih kecuali satu kerusi ahli jawatankuasa daripada 20 kerusi yang dimenangi Tuan Kecil Tuan Tengah yang kini sudah jadi orang Ahmad Said.

Shabery mengikut jejak langkah Husni Hanazlah yang meletakkan semua jawatan apabila beliau tidak dikekalkan di MOF dalam rombakan kabinet akan datang. Bukan mudah untuk Shabery mengalahkan Ahmad Said yang sudah 21 tahun menjadi ADUN Kijal yang mana majoriti dari 26 ketua cawangan adalah orang beliau.

Jika Shabery tidak sanggup menentang Ahmad Said, siapa yang layak? Adakah Setiausaha Majlis Perbandaran Kemaman, Haji Anuar Awang? Beliau dikatakan kurang berminat dengan politik kerana mahu kekal dalam TCS, Beliau yang juga menantu bekas ADUN Kijal, Mohamad Mat Amin dahulu disebut sebut sebagai calon tetapi sejak beliau balik ke Kemaman beliau kurang bergaul dengan akar umbi. Ia tidak menghairankan kerana beliau tidak minat menyertai politik walaupun beliau calon terbaik untuk menentang Ahmad Said.

Maka dua nama lain wajar dipertimbangkan sebagai calon iaitu dua orang ahli jawatankuasa bahagian iaitu Kamaruddin Ali dan Haji Yahya Mohamad. Kamaruddin Ali kalah bertanding ketua pemuda bahagian pada tahun 2008 tetapi menang ahli jawatankuasa bahagian dan Haji Yahya bekas ketua penerangan bahagian 1995-1998 adalah bekas wakil calon parlimen 1999, Wan Zaki Wan Muda.

Meletakkan Kamaruddin atau Haji Yahya jika semua ahli Umno bersatu, calon BN boleh menang apatah lagi jika berlaku pertandingan tiga penjuru antara calon BN lawan calon PAS dan Ahmad Said. Malah majoriti BN dijangka bertambah kerana rakyat marah Ahmad Said selaku ADUN Kijal tidak hadiri mesyuarat pembangunan daerah yang menyebabkan permohonan tanah rakyat Kijal dan permohonan kebajikan masyarakat rakyat Kijal sudah dua tahun tergantung.

Nama nama lain yang turut disebut sebagai calon BN Kijal ialah bekas ahli jawatankuasa pemuda bahagian, Che Wan Zamri Che Wan Sulaiman dan bekas ahli parlimen Kemaman 1995-1999, Dr Ramli Taib. Tetapi sejak kalah di DUN Air Putih pada 1999, beliau tidak peduli langsung dengan politik yang menyebabkan beliau sudah 17 tahun tidak berada dalam jawatankuasa bahagian. Jika beliau konsisten berada dalam jawatankuasa bahagian dalam pemilihan 2000, 2004, 2009 dan 2013 sudah tentu beliau adalah pilihan utama untuk menentang Ahmad Said.












Ahad, Julai 17, 2016

KELUARGA HAJI SAIDI

JANGAN TERJERAT DENGAN PERMAINAN MAHATHIR

(sudah disiarkan dalam Berita Harian)

OLEH SHAHBUDIN HAJI EMBUN


Nampaknya tidak ada lagi yang pelik di Malaysia ini. Begitulah gambaran suasana politik di Malaysia.Dan nampaknya dalam seminggu dua ini, isu tentang peranan yang dimainkan oleh mantan Perdana Menteri Tun Mahathir  Mohamad dalam memimpin gerakan anti Najib akan terus menjadi perhatian kita semua.


Apa yang penulis perasan ialah ramai pemimpin serta para penyokong UMNO berlumba-lumba menghentam apa yang dilakukan oleh  Mahathir sebagai memalukan, memualkan, dan tidak menggambarkan peribadi seorang negarawan.Bahkan ramai juga yang meramalkan gerakan yang diketuai oleh Mahathir ini akan hilang bagai ditiup angin apabila menjelangnya Pilihanraya Umum ke 14 nanti .


Ya, Tidak ada salahnya untuk menyatakan pandangan kita menyokong pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri. Maafkan penulis terlebih dahulu, tetapi penulis merasakan   para penyokong yang mempertahankan kedudukan Najib  perlu bertindak dengan lebih bijak.


Perlu diingatkan bahawa Mahathir adalah seorang “player” yang telah lama bermain permainan ini. Beliau sanggup berkorban membiarkan dirinya dikritik, dihina dan dikutuk, asalkan matlamatnya tercapai.Dalam hal ini, mungkin kita tidak boleh membandingkan taktikal bolasepak dan politik.Tetapi apa salahnya kita mengambil iktibar daripada salah seorang bekas pengurus bolasepk yang terkenal di dunia.


Jika penulis masih ingat, semasa Sir Alex Ferguson  menjadi pengurus pasukan Manchester United, beliau teruk dikritik dan dikeji oleh musuhnya, tetapi pasukan bimbingannya hampir setiap tahun memenangi piala. Ferguson membiarkan dirinya dibenci, tetapi pada masa yang sama para pemainnya melakukan apa yang perlu dilakukan di atas padang.Ferguson mengambil semua tekanan agar pemainnya dapat beraksi dengan cemerlang tanpa perlu memikirkan segala yang negatif tentang kelab Manchester United.


Mahathir mungkin menggunakan taktik yang sama. Dalam masa kita semua bersungguh sungguh menaip di papan kekunci mengutuk tindakan Mahathir, orang suruhannya terus memainkan peranan untuk melaksanakan agenda mereka. Mereka tidak perlu untuk mempertahankan bos baru mereka, tetapi apa yang lebih penting ialah melakukan tindakan yang sepatutnya.Contohnya golongan ini akan memastikan pertarungan di media sosial akan dimenangi oleh puak ini. Bagaimana dengan yang menyokong Najib?Adakah penglima papan kekunci Barisan Nasional khasnya dari UMNO  sudah bersedia untuk bertarung di media sosial?
Sememangnya sejarah telah membuktikan bahawa bukanlah mudah untuk menundukkan UMNO dan juga Barisan Nasional. Sungguhpun begitu, para penyokong UMNO tidak boleh bersandar semata-mata degan rekod lama. Tindakan mempertahankan kerajaan pimpinan Najib perlu dibuktikan dengan usaha dan bukan setakat mengeluarkan kenyataan mengutuk apa yang dilakukan oleh Mahathir. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pandangan penulis, namun bagi penulis “bertindak itu adalah lebih baik daripada hanya berkata-kata”


Memang mudah untuk mengutuk gandingan kekok Mahathir-Lim Kit Siang-Azmin Ali. Apatah lagi  jika para penyokong Barisan Nasional mengambil mudah dan menganggap gandingan ini tidak mampu untuk menggigit pentadbiran Najib. Maka di sini penulis perlu mengingatkan sekali lagi bahawa di Malaysia ini tidak ada yang pelik atau mustahilnya apabila kita memperkatakan tentang politik.


Pengalaman adalah sebaik baik guru dan lihat sahaja apa yang berlaku sejak berpuluh tahun dahulu. Mereka yang dijangka menjadi pemimpin terus kecundang manakala yang tidak ada harapan boleh melakukan kejutan.Itu sebabnya dalam permainan politik, sebaik sahaja kita memandang rendah akan keupayaan “otai-otai” ini yang sudah dianggap lapuk, maka ada kemungkinan besar , kita sendiri yang akan kecundang.


Adakah ini merupakan langkah terakhir  atau “last card” Mahathir untuk menjatuhkan Najib? Mungkin juga.Apatah lagi beliau sudahpun keluar dari Umno dan merasakan yang tindak tanduknya tidak lagi penting dari perspektif Umno. Begitulah yang pernah dijelaskan suatu ketika dahulu oleh Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishamuddin Hussein bahawa " Dr Mahathir sudah keluar dari Umno dan kini mula bergabung dengan pembangkang, justeru tindak-tanduknya sudah pasti tidak lagi mengambil kira kepentingan Umno,"


Seorang lagi Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi yang kini memangku tugas-tugas sebagai Timbalan Presiden Umno juga menegaskan bahawa adalah penting untuk semua ahli, tidak kira yang dalam Umno mahupun dalam Barisan Nasional agar terus bersatu dalam mempertahankan pentadbiran kerajaan hari ini yang telah dipilih secara demokratik melalui pilihanraya yang sah.



Sabtu, Julai 16, 2016

MUDA DALAM KENANGAN

Semalam bekas sub editor Free Malaysia Today (FMT), Narinder Singh call saya pada jam 4.51 petang beritahu editor BM Berita Daily, Muda Mohd. Noor, 55 tahun,  meninggal dunia. Saya terkejut menerima berita itu kerana saya tidak tahu beliau dimasukkan ke Hospital KL (HKL) sejak Isnin lalu kerana koma akibat stroke.

Setelah empat hari koma beliau meninggal dunia di HKL pada jam 4 petang semalam. Saya mengenali Muda sejak lima tahun lalu ketika beliau bekerja dengan Malaysiakini. Apabila bekas editor Malaysiakini, Kabilan menyertai portal baru, FMT, Kabilan membawa masuk Muda sekali.

Pada tahun 2013, Muda call saya tanya saya nak kerja tak dengan FMT? Kabilan menawarkan jawatan Editor BM kepada Muda tetapi beliau menolaknya dan memperkenalkan saya kepada Kabilan dan orang kanannya Retna. Dengan rekomendasi Muda, saya join FMT pada 3 Julai 2013 sehingga 1 Julai 2014 apabila Kabilan, Muda, Narinder Singh, saya dan satu team ditamatkan perkhidmatan oleh syarikat FMT.

Kabilan membuka portal baru, Berita Daily membawa Narinder Singh. Muda sekali dengan rakan rakan lain dalam FMT tetapi saya tidak dipelawa. Maka menganggurlah saya sehingga hari ini. Sejak berpisah dengan Muda pada Julai 2014, sudah dua tahun kami tidak berjumpa.

Banyak kali kami janji nak jumpa tapi asyik tak jadi sehinggalah semalam baru saya jumpa jenazahnya buat kali terakhir. Muda yang berasal dari Kg Gelugor Raja, Kuala Terengganu sekampung dengan kampung bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar.

Tiga bulan lepas saya pelawa Muda menyertai grup wasap kami Semut Api setelah dicadangkan oleh Shamsul Hazli Mamat. Seperti kata abang Muda di HKL semalam, Muda suka cakap mengarut. Dalam wasap grup kami pun, Muda tulis mengarut. Sekali ada di Jitra, sekali ada di Danok dan sekali ada di Padang besar sedangkan dia berada di rumahnya di Seri Rampai, KL.

Muda seorang yang perahsia. Saya tak pernah kenal isterinya yang kononnya orang Pasir Mas, Kelantan. Sedangkan semalam abangnya beritahu Muda yang tak pernah nikah baru nikah tahun lepas dengan orang Palembang, Sumatra.

Dalam wasap grup kami Muda rapat dengan Kak Zah (KZ) orang Jitra. Seminggu sebelum koma,Muda call KZ suruh jaga diri baik baik. KZ pun dah left grup kami.Muda banyak berubah sebelum meninggal dunia. Setiap hari kerjanya cakap mengarut. Pada bulan puasa tiba tiba dia left grup kami bila saya bergurau dengannya makanan dalam gambar itu makanan Muda yang tidak puasa. Dia amat tersimggung dengan gurauan itu dan terus left grup. Rupanya itu semua adalah tanda orang mati yang buang tabiat yang mahu pergi meninggalkan kawan kawannya.

Saya terhutang budi kepada Muda kerana dengan bantuan Muda saya dapat bekerja dengan FMT selama satu tahun. Muda bukannya seorang yang pentingkan pangkat dan sanggup menawarkan jawatan Editor BM yang ditawarkan kepadanya kepada kawannya yang sedang menganggur. Itulah Muda yang suka berahsia. Alfatihah buat Muda.


Rabu, Julai 13, 2016

UMNO TAWAU MASIH KUKUH



TAWAU, 12 Julai (Bernama) -- Ketua Umno Bahagian Tawau Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata Umno di bahagian itu masih kukuh dan tiada sebarang borang keluar parti diterima sejak bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Shafie Apdal keluar parti baru-baru ini.

Tawfiq berkata pihaknya percaya anggota parti di kawasan itu masih memberikan keyakinan yang tinggi terhadap kepimpinan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

"Setakat ini, kita juga difahamkan bahawa mana-mana bahagian (Umno) lain di Sabah belum menerima sebarang borang keluar parti oleh anggota yang banyak didakwa bertindak demikian," katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitrinya di sini, Selasa.

Tawfiq yang juga Menteri Belia dan Sukan Sabah berkata dakwaan kononnya 600 anggota Umno Bahagian Batu Sapi keluar Umno telah dinafikan ketuanya, Datuk Samsudin Yahya.

"Ia hanya melibatkan sebilangan kecil. Saya difahamkan ramai yang hadir pada majlis itu tapi mereka telah dikenal pasti bukan ahli Umno dan kalau ada ahli Umno pun, ia cawangan yang digantung atas pelbagai faktor antaranya ketua cawangan muflis atau tak cukup korum," katanya.

Sementara itu, Tawfiq menasihatkan semua anggota Umno di negeri ini agar tidak terpedaya oleh emosi individu tertentu yang menderita akibat kesalahan diri sendiri.

"Yang perlu diberi perhatian adalah fokus kepada pembangunan negeri dan membela nasib rakyat sehingga pilihan raya umum akan datang," katanya.



-- BERNAMA

TINDAKAN SHAFIE TIDAK RUGIKAN UMNO

(sudah disiarkan dalam Berita Harian)

Oleh Shahbudin Haji Embun

Bukanlah kali pertama penulis menasihatkan kepada ahli UMNO akan pentingnya pengertian solidariti dalam parti.Dalam beberapa penulisan yang lalu, penulis telah menegaskan bahawa solidariti merupakan elemen penting yang akan mengukuhkan sesebuah parti ataupun apa-apa pertubuhan.

Lihat sahaja pasukan Iceland yang telah beraksi dengan cemerlang pada Euro 2016 . Walaupun akhirnya terpaksa akur dengan kecemerlangan pasukan tuan rumah di peringkat suku akhir, namun semangat berpasukan yang tinggi serta semangat solidariti yang ditunjukkan oleh sebuah negara yang hanya mempunyai seramai 300 ribu penduduk, telah menaikkan nama Iceland dalam Euro 2016 ini. Pasukan ini telah membuktikan solidariti adalah senjata yang lebih tajam dan bukannya berharapkan pada sentuhan ajaib pemain yang bergelar bintang.

Itulah sebabnya pengumuman keputusan bekas naib presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk meninggalkan parti bukanlah satu berita yang memeranjatkan. Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan berita tentang isu ini sudah lama tersebar di kalangan ahli-ahli UMNO yang sudah menjangkakan tindakannya ini.

Persoalannya sekarang ialah adakah tindakan Shafie akan memberi kesan kepada kekuatan UMNO Sabah. Ya, mungkin beliau ada pengaruhnya dan pastinya juga ramai yang akan menyokong tindakan beliau meninggalkan UMNO. Pastinya juga kita akan mendengar beberapa orang kuat UMNO Sabah terutamanya di Semporna yang mungkin akan meletakkan jawatan dan meninggalkan UMNO.

Dalam hal ini, jika diukur dari segi populariti dan kewibawaan sebagai pemimpin, pastinya nama Mantan Timbalan Perdana Menteri dan juga Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah lebih gah daripada nama Shafie Afdal.Muhyiddin dikenali di seluruh Malaysia.Ini adalah hakikatnya dan para penyokong Shafie Afdal juga perlu bertanyakan soalan, adakah nama Shafie Afdal  hebat  juga di negeri-negeri lain selain daripada Sabah?

Adakah para penyokong UMNO dari negeri lain akan berasa sedih atau marah sebagaimana yang dirasakan oleh sebahagian ahli-ahli UMNO di Semporna?.Itulah sebabnya tidak keterlaluan jika dikatakan tindakan Shafie Afdal meninggalkan UMNO tidak akan memberikan kesan yang drastik terhadap UMNO.Sekali lagi kita bandingkan dengan isu yang melibatkan Muhyiddin Yassin.


Dalam hal ini, ramai juga yang tidak bersetuju dengan tindakan Muhyiddin dipecat dari UMNO. Bahkan ada yang melenting dan juga mengumumkan akan keluar dari parti. Namun hakikatnya tindakan beliau tidak dilhat sebagai melemahkan parti. Benar, ada yang menyatakan, tunggulah sehingga Pilihan Raya Umum nanti, yang mana penyokong beliau akan bertindak dengan meminggirkan UMNO dan menyokong parti parti pembangkang.

Benar, perkara itu boleh berlaku dan ada kemungkinan juga kerusi Parlimen yang disandangnya dapat dipertahankan. Namun disebabkan UMNO mementingkan integriti dan semangat perjuangan parti, maka UMNO lebih rela melepaskan seorang individu yang boleh memberi kerosakan yang lebih serius jika terus dikekalkan dalam UMNO.Apa yang UMNO lakukan ialah untuk menguatkan perpaduan dan solidariti parti.

Itulah sebabnya penulis semakin yakin, semangat solidariti yang sudah lama disemai oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak masih tersimpan di hati ahli-ahli UMNO Sabah.Perkara ini telah banyak kali ditegaskan oleh Najib dan juga diulangi oleh Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menjelaskan bahawa kekuatan parti adalah bergantung daripada sokongan ahli-ahli UMNO yang setia dengan perjuangan parti.Itulah sebabnya semangat solidariti yang ada pada diri majoriti ahli-ahli UMNO akan memastikan  UMNO akan terus utuh dan relevan dan bukannya kerana individu yang lebih mementingkan perjuangan peribadi.

UMNO telah lama membuktikan tidak ada individu yang lebih besar daripada parti dan juga telah berjaya mengharungi pelbagai isu yang lebih serius. Satu lagi faktor yang membuatkan UMNO terus relevan ialah sikap para pemimpinnya yang tidak mudah melatah dan tidak terikut-ikut dengan tarian sumbang musuh UMNO, baik dari dalam mahupun yang berada di luar.

Dan mungkin ada hikmahnya juga UMNO  teruk dihentam sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Dari sini kita akan dapat menilai siapakah ahli-ahli UMNO yang telah meninggalkan parti dan mana pula  sama-sama terus berjuang dengan pucuk pimpinan UMNO.

Selasa, Julai 12, 2016

TAKZIAH BUAT KISFI

Malam tadi sahabat saya, Kisfi Zainal, 56 tahun, call saya nak jumpa saya tapi saya masih ada di KT,
belum balik ke Kemaman. Pagi tadi jam 5.23 pagi saya terima wasap dari Kisfi yang mengatakan anaknya meninggal dunia di Hospital Serdang, Selangor.

Saya terus call Kisfi dan baru tahu anaknya meninggal dunia kerana kes langgar lari. Anaknya yang berusia 19 tahun baru beli motorsikal dan Kisfi tak sempat menemui anaknya yang duduk di Kuala Lumpur dengan bekas isterinya pada hari raya baru baru ini.

Kisfi bekas ahli jawatankuasa pemuda Umno Bahagian Kemaman aktif dalam politik sejak berusia 18 tahun lagi. Ketika YB Ismail Alfalah menjadi ADUN Bukit Bandi (nama lama DUN Ayer Putih) dari tahun 1978 hingga 1986, beliau adalah pembantu YB Ismail Alfalah.

Kalau orang Kemaman tak kenal Kisfi, itu bermakna orang itu orang baru dalam politik. Beliau yang berasal dari Kampung Ayer Putih bekerja sebagai juruteknik JKR dan kemudiannya meletakkan jawatan apabila ditukarkan ke JKR Kuala Terengganu. Sewaktu Major (B) Mohamad Awang menentang Datuk Ismail Said bagi jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian Kemaman pada tahun 1993, Kisfi adalah pengurus kempen Major (B) Mohamad Awang bersama Hashim Keling.

Selepas Major (B) Mohamad Awang kalah, Kisfi berhijrah ke Kuala Lumpur dan bekerja dengan sebuah syarikat di Klang yang memohon lesen kontena. Kebetulan Kisfi kenal Menteri Pembangunan Usahawan, Tan Sri Dr Yusof Noor dan Kisfi berjaya memohon beberapa lesen kontena dengan Dr Yusof Noor.

Apabila Dr Yusof tidak lagi menjadi menteri, Kisfi meletakkan jawatan dengan syarikat tersebut dan syarikat itu melantik ketua pemuda Umno Bahagian Kota Bharu, Datuk Fatmi Salleh sebagai pengerusi syarikat yang baru kerana Datuk Fatmi baik dengan menteri pembangunan usahawan yang baru, Datuk Mustafa Mohamad.

Masa inilah Kisfi belajar lagi di Universiti Malaya, Kuala Lumpur sehingga berjaya memiliki ijazah sarjana muda pengurusan perniagaan. Selepas itu Kisfi bekerja dengan sebuah syarikat oil and gas di Kuala Lumpur.Empat tahun lalu beliau kembali ke Kemaman setelah meletakkan jawatan dengan syarikat tersebut. Kini beliau menetap di Kemaman.

Saya kenali Kisfi  pada tahun 1986 ketika beliau bertugas dengan ADUN Ayer Putih, Datuk Harun Hassan. Kami sahabat sama sama susah dan sama senang. Setiap kali dia datang ke Kuala Lumpur dia cari saya, dan setiap kali saya balik ke Kemaman dia orang pertama saya cari kerana kebetulan dia duduk di Chukai.

Hari ini Kisfi kehilangan anak tunggalnya. Takziah buat Kisfi. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Alfatihah.


Isnin, Julai 11, 2016

CALON FAKTOR KEMENANGAN BN

Berikutan kemenangan cemerlang BN di PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru baru ini, Fakhrul Azman Abu Bakar berpendapat pemilihan calon merupakan faktor kemenangan calon dalam PRU akan datang.

Beliau yang juga bekas Ketua Pemuda Keadilan Terengganu berkata jika BN memilih calon yang berwibawa BN boleh menang di Terengganu.

Katanya, 15 calon BN tewas di Terengganu pada PRU lalu kerana orang Umno sendiri mewnolak calon pilihan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

"Kenapa DUN Chukai kalah besar? Kerana pengundi Umno sendiri menolak Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid sedangkan beliau adalah setpol MB sepatutnya pengundi DUN Chukai boleh menerimanya," kata beliau dalam satu pertemuan ekslusif dengan blog catatanzabidi.

Fakhrul, 49 tahun adalah anak Cikgu Abu Bakar Ibrahim bekas Ketua Pemuda Umno Hulu Terengganu (1967-1990). Selain itu beliau adalah Pesuruhjaya Pengakap Terengganu dari tahun 1985 hingga 1993.

Berasal dari Johol, Negeri Sembilan beliau kahwin dengan orang Kuala Berang ketika mengajar di Hulu Terengganu pada tahun 1960. Adik iparnya adalah Datuk Razali Ismail ahli parlimen Kuala Terengganu dan Timbalan Menteri Pelajaran di zaman Pak Lah.

Fakhrul yang menjejaki ayahnya menyertai politik adalah bekas Setiausaha Penyelaras Umno DUN Wakaf Mempelam pada tahun 1996 serta Setiausaha Umno Cawangan During Burung. Malah pada tahun 1998 beliau dilantik ahli jawatankuasa Biro Dakwah Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu yang diketuai Datuk Wan Farid Wan Salleh.

Apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari Umno, beliau menyertai Keadilan pada tahun 1999 kerana berpegang pada prinsip yang disebut Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Anwar belum bersalah selagi mahkamah belum memutuskan beliau bersalah.

Menyedari Anwar sudah menyimpang jauh dari perjuangan asal PKR, Fakhrul meninggalkan PKR yang bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM). Beliau menyertai semula Umno dan membantu kemenangan bapa saudaranya, Datuk Razali yang bertanding dalam PRU 2004.

Beliau yang rapat dengan orang PAS dan PKR ketika berada dalam PKR meminta tolong kawan kawannya untuk mengundi Datuk Razaali. Mereka jawab beres, undi DUN diberi kepada PAS tetapi undi parlimen diberi kepada BN.

Sebab itulah Datuk Razali menang besar pada tahun 2004. Fakhrul main peranan di belakang tabir memasang poster kerana ketika itu ahli jawatankuasa Umno Bahagian Kuala Terengganu pun tidak mahu Datuk Razali menang. Dengan bantuan rakan rakan beliau habuiskan poster calon yang tersadai di dalam markas BN.

Begitulah lumrah alam, bila Datuk Razali menang, ketua cawangan yang mahu melihat Datuk Razali kalah paling ke depan cium tangan Datuk Razali. Dengan melantik Cikgu Pa sebagai pegawai khas ahli parlimen itu, maka Fakhrul tersingkir dari arus utama Datuk Razali.

Sebab itu majoriti Datuk Razali merosot pada PRU 2008. Fakhrul
 tidak dipanggil oleh jentera Datuk Razali untuk membantunya. Pada PRK Kuala Terengganu, Fakhrul cuba membantu Datuk Wan Farid yang bertanding tetapi beliau tidak ikuti nasihat Fakhrul maka Wan Farid kalah dalam PRK tersebut.

Dengan pengalaman Fakhrul, sudah sampai masanya bagi pucuk pimpinan Umno meletakkan Fakhrul di tempat yang sewajarnya. Beliau petrnah memohon jawatan APMT untuk DUN Wakaf Mempelam pada tahun 2008 tetapi Pengarahnya, Haji Roshaili tak tahu diploma insuran yang dimiliki oleh Fakhrul itu adalah diploma keluaran Uitm. Itulah akibatnya letak guru sekolah jadi pengarah agensi kerajaan negeri.

Dalam suasana orang berebut jadi calon, Fakhrul layak jadi calon parlimen Kuala Terengganu kerana pengalamannya membantu bapa saudaranya menang dalam PRU 2004 boleh membantu kemenangannya yang dapat menarik undi orang PAS dan orang PKR.

Beliau bukan ahli jawatankuasa Umno Bahagian tetapi pengalamannya dalam politik menyebabkan beliau boleh dianggap sebagai calon boleh menang. Beliau masih aktif di peringkat pusat sebagai Ketua Penerangan PERKASA Negeri Terengganu dan Pengerusi Biro Antarabangsa Institut Kerjasama Islam Malaysia (IKIAM).


Ahad, Julai 10, 2016

NGOR BIADAP KATA ISMAIL SABRI

BERA, 9 Julai (Bernama) -- Tindakan Anggota Parlimen Taiping, Perak, Nga Kor Ming memuat naik status dalam akaun Facebook (FB) miliknya menghina sambutan Hari Raya Aidilfitri disifatkan sebagai tindakan biadab dan sengaja mencari publisiti murahan.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perbuatan itu juga menyinggung perasaan umat Islam dan tidak menghormati amalan tradisi yang telah diamalkan masyarakat Melayu sejak turun temurun.

"Ini merupakan perbuatan biadab dan kurang ajar. Ia tidak patut berlaku kerana pemberian duit raya ini bukan satu perkara baru, tetapi untuk mengembirakan kanak-kanak.

"Sebab itu ia diberi kepada golongan itu dan bukannya kepada orang dewasa dan perkara ini juga
diamalkan masyarakat Cina yang memberi ang pau semasa Tahun Baru Cina," katanya.

"Budaya ini sama saja baik kaum Melayu, dan Cina, malah kaum India sendiri pun semasa Depavali kita beri bantuan kepada golongan memerlukan untuk meringankan bebanan mereka," katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis rumah terbuka Aidilfitri 2016 Parlimen Bera di sini hari ini.

Majlis yang diadakan bermula pukul 9 pagi dan berakhir 2 petang itu dihadiri hampir 20,000 orang yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Sehubungan itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menuntut Kor Ming agar segera meminta maaf kerana tindakannya yang tidak bertanggungjawab mempersendakan Aidilfitri dengan menyamakan sedekah duit raya sebagai rasuah dan 'dedak'.

Di MANJUNG, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pula menyifatkan tindakan Kor Ming sebagai tidak matang.

Zambry berkata sebagai seorang anggota Parlimen dan anggota Dewan Undangan Negeri yang berpengalaman dan berpendidikan, beliau tidak sepatutnya menulis sesuatu perkara yang boleh mencetuskan kontroversi apatah lagi ketika umat Islam menyambut Aidilfitri.

"Bagi umat Islam ia amat sensitif apabila kita meletakkan sesuatu yang tidak kena pada tempatnya," katanya kepada pemberita pada Jamuan Hari Raya Aidilfitri 2016 dan majlis meraikan perkahwinan anak beliau, Shifa dengan Wan Muhammad Ihsan Wan Sabri di perkarangan Dewan Merdeka.

Dalam pada itu, Zambry berkata dialog karikatur berkenaan merupakan satu bentuk penghinaan yang mana mereka telah menghina tradisi berkurun masyarakat Melayu di negara ini.

"Begitu juga dengan masyarakat Cina, adakah pemberian angpau itu dianggap dedak?, ini adalah perbuatan menghina yang tidak wajar dilakukan," katanya.

Di IPOH, Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun meminta pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap Kor Ming bagi mengelak perbuatan itu menjadi ikutan individu lain yang tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata mainan politik pemimpin DAP itu amat berbahaya kerana ia melambangkan sikap ekstremis serta akan menjejaskan keharmonian kaum di negara ini.

"Saya meminta pihak berkuasa jangan menunggu lama untuk menahan (Kor Ming) dan menyiasat perkara ini," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjurannya, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut meminta pihak berkuasa supaya memperketatkan kawalan di sempadan bagi mencegah penyeludupan senjata api dan bahan letupan daripada masuk ke negara ini.

Selain itu, beliau turut menggesa golongan belia yang terjebak dengan kumpulan militan Daesh di luar negara supaya pulang ke pangkal jalan dengan segera.

Di KUALA LUMPUR, Ketua Pemuda MCA, Chong Sin Woon menyifatkan tindakan Kor Ming itu sebagai melampau, angkuh dan tidak sensitif serta menimbulkan kemarahan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Beliau berkata sebagai anggota Parlimen yang berpengalaman, beliau sepatutnya faham mengenai suasana dan sensitiviti rakyat negara ini sebelum memuat naik mesej sebegitu di media sosial.

"Saya harap beliau akan insaf dan berhenti mengganggu keharmonian negara dengan entri-entri seperti itu dalam Facebooknya," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara yang akan menyertai pertandingan matematik, debat, konvensyen di Hong Kong, Switzerland, Jepun dan Jerman.

-- BERNAMA

SARAWAK REPORT PERDAYAKAN ORANG RAMAI DAKWA SALLEH

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Sarawak Report gagal menyedari hakikat bahawa Laporan Ketua Audit Negara merupakan salah satu komponen yang digunakan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk menyiapkan laporan akhir badan itu mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MBD).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata Laporan Ketua Audit Negara itu tidak lengkap kerana ia hanya menangani satu aspek 1MDB.

Malah, dalam kiriman blognya, katanya, laporan lengkap adalah daripada PAC kerana ia bukan sahaja mengambil kira Laporan Ketua Audit Negara tetapi semua maklumat lain yang dikumpulkan.

Beliau berkata, dalam hal ini, Sarawak Report boleh diberi faedah kesangsian kerana mereka diberi maklumat yang silap atau tidak menyedari fakta yang sangat penting ini.

"Sekiranya mereka sedar perkara ini, maka Sarawak Report bersalah memperdayakan orang ramai kerana apa yang dimaklumkan kepada awam telah menyimpang jauh daripada kebenaran," katanya.


Salleh berkata laporan Sarawak Report juga berkompromi tentang integriti ahli-ahli PAC termasuk beberapa ahli daripada pembangkang.

"Adakah Sarawak Report mempersoalkan kejujuran ahli-ahli PAC," tanya beliau.

Sarawak Report membuat sindiran bahawa PAC dan ahli-ahlinya termasuk daripada pembangkang tidak jujur dan cuba menyembunyikan apa yang mereka temui dalam siasatan.

Khamis lepas, laman pembocor maklumat berpangkalan di London itu mendedahkan sekali lagi apa yang didakwa sebagai petikan penting daripada siasatan Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB yang telah diklasifikasikan sebagai sulit di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

-- BERNAMA

Khamis, Julai 07, 2016

NABI YUSUF PUN TURUT DIFITNAH

Ghani kesal tindak tanduknya disalahfaham oleh emak saudaranya. Dia tak sangka isu yang meletup dua bulan lepas belum selesai lagi.


Segala galanya bermula apabila Ghani mengucapkan selamat hari jadi kepada menantu emak saudaranya. Suami menantunya sudah meninggal dunia tahun lepas. Ghani ucapkan happy birthday dalam wasap grup family mereka. Entah macam mana isteri sepupunya itu suruh Ghani hantar KFC sebagai hadiah hari jadi.

Ghani yang lurus bendul pun hantar KFC ke rumah emak saudaranya. Walaupun suaminya sudah meninggal, dia masih duduk sekali dengan mentuanya. Mujur masa Ghani hantar KFC ke rumah mak saudaranya, birthday girl tiada di rumah dan balik ke kampungnya.

Rupa rupanya KFC menjadi isu mak saudaranya menyerang Ghani. Yang peliknya mak saudaranya tak wasap Ghani sebaliknya wasap adik Ghani supaya menasihati Ghani tidak kacau bini anaknya. Apabila adik Ghani beritahu abangnya hasrat emak saudaranya jangan kacau menantunya Ghani pun cerita masalah sebenar bermula dengan ucapan happy birthday dan tiada niat untuk mengganggu bini sepupunya itu.

Tetapi apabila anak anak Ghani mengunjungi rumah emak saudaranya petang semalam, emak saudaranya ungkit lagi isu KFC. Ghani hanya tersenyum kerana Nabi Yusuf pun kena fitnah dengan Siti Zulaikha apatah lagi manusia biasa sepertinya.Cuma dia kesal isu yang dianggap sudah selesai itu masih berbunyi lagi.Ghani pun tak tahu apa motif mak saudaranya memburuk burukkan dirinya.


Rabu, Julai 06, 2016

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Saya mohd zabidi bin saidi pemilik blog ini mengucapkan selamat hari raya aidilfitri  maaf zahir dan batin kepada semua pembaca blog ini serta kepada kawan kawan dan sanak saudara. Saya minta maaf semalam tak ada posting kerana cyber cafe dah tutup di bandar chukai.

Saya tak biasa menulis terus dengan handphone ini. Hari ini saya cuba guna handphone ini. Saya berada di kemaman selama seminggu. Dan kepada kawan kawan yang selalu ditemui dalam grup wasap dapatlah kita bertemu di bandar cukai. Selamat hari raya aidilfitri.