Isnin, Disember 01, 2008

KAPAL BN SEMAKIN BOCOR


Apa malangnya nasib BN. Seorang pemimpin kanan MCA menyokong kenyataan Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP), Datuk M Kayveas yang mendesak kerajaan supaya meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Sudah sampai masanya BN mengkaji semula kedudukan PPP dan MCA dalam BN. BN kini seolah-olah kapal yang mahu tenggelam. Dapatlkah Pak Lah pertahankan kapal BN yang mula bocor ini?



Kayveas juga dilaporkan berkata, PPP akan keluar dari Barisan Nasional (BN) sekiranya kerajaan tidak membuat sebarang pindaan yang bersesuaian terhadap ISA sebelum Pilihanraya umum akan datang.



Dalam satu kenyataan hari ini, anggota jawatankuasa pusat MCA, Wong Nai Chee berkata beliau bersetuju dengan desakan Kayveas supaya kerajaan meminda ISA.



"Kerajaan perlu memindan peruntukan-peruntukan dalam ISA yang tidak sesuai dan yang sudah ketinggalan zaman, bagi mengelak ISA disalahguna oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, dan memulihkan keyakinan terhadap kerajaan," tegasnya.



Wong berpendapat, ISA perlu dipinda bagi menyediakan lebih banyak 'semak dan imbang' untuk dijalankan oleh pihak mahkamah.



"Ini dapat memastikan semakan kehakiman boleh dijalankan untuk menyiasat alasan-alasan tahanan dibuat dan sama ada alasan berkenaan mengikut semangat Akta tersebut," tambahnya.



Bagaimanapun, Wong yang juga pengerusi biro parlimen dan perundangan Pemuda MCA katanya, aspek pencegahan dalam ISA masih penting dalam mengekang keganasan
Beliau merujuk kepada serangan pengganas di Mumbai, India yang dilaporkan telah mengorbankan 195 nyawa dan 295 lagi cedera.



Wong berkata, beliau memahami kebimbangan yang disuarakan oleh Kayvaeas yang rakyat Malaysia memandang berat isu-isu berkaitan ISA dan jika BN tidak membuat pembaharuan, rakyat akan hilang keyakinan terhadap gabungan tersebut.



"Malalui saluran BN dan juga wakil kita di Kabinet, MCA akan terus mendesak kerajaan supaya meminda ISA. Parti juga berharap semua parti komponen BN berkerjasama dengan MCA, untuk mendesak ISA dipinda bagi mencegahnya daripada disalahgunakan," tegasnya.



Dalam kenyataannya semalam, Kayveas dilaporkan berkata, kerajaan seharusnya berdepan dengan gesaan masyarakat supaya membuat pindaan ke atas ISA dalam senario politik dan sosial masa ini dengan ramai berpendapat akta tersebut telah disalahgunakan untuk menyekat kebebasan bersuara.



Bagaimanapun, menurut beliau, pihaknya masih akur kepada hakikat bahawa kewujudan ISA pada sesetengah keadaan dan masa telah membantu masyarakat berbilang kaum di negara ini untuk hidup dengan aman, bersatu dan selamat.



''PPP bukan meminta supaya ISA dihapuskan, tetapi meminta kerajaan membuat pindaan yang realistik dan bersesuaian dengan keadaan semasa.



''Kami tidak ingin melihat keadaan yang mana orang ramai beranggapan bahawa ISA merupakan 'senjata' alternatif kerajaan untuk menghapuskan musuh politiknya,'' katanya selepas merasmikan persidangan Perwakilan Pemuda dan Wanita PPP di ibunegara semalam.

CADANGAN MUHYIDDIN PERLU DILAKSANAKAN



Cadangan Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bakal dinobatkan sebagai Timbalan Presiden UMNO Malaysia pada Mac depan supaya semua 100,000 ketua cawangan memilih barisan pemimpin UMNO perlu diberi perhatian segera.


Saya berharap tidak ada orang marahi saya bila saya kata Muhyiddin bakal jadi Timbalan Presiden UMNO pada Mac depan. Saya kata demikian kerana dari segi pencalonan, Muhyiddin jauh mengatasi pencalonan Datuk Seri Ali Rustam dan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib.



Walaupun jumlah pencalonan tidak menggambarkan keadaan sebenar, tetapi UMNO memerlukan pemimpin nombor dua yang boleh check and balance kepada pemimpin nombor satu.Maka Muhyiddin adalah jawapan yang tepat.


Jika UMNO mahukan pemimpin yang yes man, maka Ali yang akan menang. Tapi pada firasat saya, Muhyiddin bakal mendudukki kerusi nombor dua itu kerana perwakilan terhutang budi kepada Muhyiddin yang konsisten mengkritik Pak Lah sehingga Pak Lah berundur lebih awal dua tahun dari Jun 2010.


Kita berharap bila Datuk Seri Najib Tun Razak jadi Presiden UMNO pada Mac 2009, Najib dapat melaksanakan cadangan Muhyiddin ini. Yang pertama, Muhyiddin mencadangkan supaya kuota dihapuskan. Beranikah Najib melaksanakan cadangan ini?


Silap-silap Najib yang tersungkur bila Muhyiddin dapat dua pencalonan untuk menentang Najib pada pemilihan 2012?


Cadangan kedua jika dilaksanakan memang boleh menghapuskan politik wang. Sekarang ini begitu mudah calon-calon yang bertanding membeli 2,500 orang perwakilan.


Jika 100,000 ketua cawangan berpeluang mengundi para pemimpin UMNO, agak sukar untuk membeli undi sebegitu ramai perwakilan. Oleh itu jika Najib melaksanakan kedua-dua cadangan Muhyiddin ini, beliau akan dikenang sebagai pemimpin yang berani menghapuskan politik wang.


Saya percaya jika Najib ikhlas, Najib tidak akan dilanggar oleh Muhyiddin walaupun beliau sudah menghapuskan kuota. Melainkan Najib mementingkan suku-sakat dan kroninya, maka Muhyiddin tidak ada pilihan lain terpaksa melawan Najib pada tahun 2012.

ZAID PERLU BUAT PENDIRIAN




Lembaga Disiplin UMNO wajar menghukum bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang hadir pada perasmian Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Shah Alam, Selangor dua hari lepas.


Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, perbuatan tersebut jelas melanggar etika parti dan bertentangan dengan semangat yang diamalkan oleh Barisan Nasional (BN).


“Kita bukan tidak berfikiran terbuka, tetapi tindak tanduk beliau tidak ikut prosedur disiplin parti, ini satu perbuatan yang tidak boleh dimaafkan kerana melanggar disiplin parti,” katanya kepada pemberita pada Majlis Bersama Media di Sutera Harbour di Kota Kinabalu semalam.


Muhyiddin mengulas tindakan yang perlu dikenakan terhadap Zaid yang memberi alasan hadir ke kongres PKR itu untuk mendengar isu yang diperkatakan pucuk pimpinan dan perwakilan PKR mengenai keadaan semasa di negara ini.


Pada sidang akhbar selepas kongres itu, Zaid ketika ditanya sama ada akan menyertai PKR, beliau tidak menolak kemungkinan menyertai parti pembangkang itu pada masa depan.
Zaid meletakkan jawatan Kabinet selepas mendapat kritikan pelbagai pihak khususnya dalam BN terhadap kenyataannya yang membantah penahanan seorang wartawan, Ahli Parlimen dan penulis blog di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), 12 September lalu.


Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata, Zaid perlu menulis surat tunjuk sebab kepada kepimpinan tertinggi UMNO untuk menjelaskan sebab utama beliau menghadiri kongres tersebut.


Beliau berkata, Zaid juga belum lagi menghantar surat tunjuk sebab atas kesalahan membantah ISA dan kini, beliau membuat satu lagi kesalahan yang melanggar etika parti.
Jelas Muhyiddin, perbuatan berkenaan secara tidak langsung memberi sokongan moral kepada parti pembangkang tersebut.


Mengulas cadangan beliau agar pemilihan pemimpin parti dibuka kepada kira-kira 100,000 pemimpin cawangan yang menghadiri persidangan bahagian masing-masing dan bukannya terhad kepada 2,500 perwakilan pada perhimpunan agung parti itu nanti, Muhyiddin berkata, ia merupakan satu cara untuk kembali kepada asas demokrasi.


Muhyiddin berkata, kaedah itu dapat membanteras politik wang di samping menghapuskan sistem kuota dalam UMNO dan secara tidak langsung sistem tersebut menyamai pemilihan calon seperti mana pilihan raya.


Apabila seorang bekas menteri UMNO menghadiri majlis PKR, ia memang sesuatu yang memalukan. Oleh itu UMNO perlu mengambil tindakan tegas kepada Zaid supaya ia memberi pengajaran kepada semua ahli UMNO.


Zaid pula tidak perlu menunggu dipecat dari UMNO. Beliau perlu buat pendirian segera untuk menyertai PKR. Sekurang-kurangnya beliau boleh dilantik Pengerusi PKR Kelantan. Alangkah anehnya bila Zaid menyertai PKR kerana dialah satu-satunya peguam Melayu yang menyaman kerajaan Kelantan ketika PAS membentangkan enakmen hukum hudud di Dewan Undangan Negeri Kelantan tidak lama dahulu. Bagaimana pula Zaid mahu duduk semeja dengan Nik Aziz dalam mesyuarat Pakatan Rakyat Kelantan pulak?

Ahad, November 30, 2008

CALON NAIB PRESIDEN BEREBUT BERI KENYATAAN


Bila ada kenyataan kontroversi dari pemimpin MCA, begitu mudah calon- calon Naib Presiden UMNO memberi kenyataan. Ini untungnya wartawan kerana mereka mudah dapat ulasan sebelum Mac 2009. Selepas Mac 2009, mungkin wartawan susah sikit dapat ulasan dari menteri-menteri kerana mereka sibuk.


Sekarang ini pantang call, terus mereka beri kenyataan. Maklum saja masing-masing mahu undi dari para perwakilan. Bila Timbalan Presiden MCA, Dr. Chua Soi Lek berkata ketuanan Melayu sudah tidak releven, berebut-rebut calon Naib Presiden buat kenyataan.


Hishamuddin Hussein berkata lebih baik pemimpin parti komponen yang terus mempertikai ketuanan Melayu menyerrtai parti pembangkang. Seorang lagi calon Naib Presiden dari Johor, Syed Hamid Albar berkata ia bukanlah jenaka yang boleh dipermainkan. Katanya, kenyataan Soi Lek itu boleh menimbulkan kemarahan orang Melayu.


Khalid Norden juga dari Johor memberi amaran kepada Soi Lek supaya jangan mencabar ketuanan melayu. Calon Naib Presiden tunggal dari Sabah, Shafie Afdal kesal dengan kenyataan bekas Menteri Kesihatan itu. Katanya, isu itu tidak perlu ditimbulkan oleh mana-mana pihak.


Sehingga ini empat calon telah menyelar Soi Lek. Kita tunggu apa pula kata Isa Samad, Dr. Rais Yatim, Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Dr. Jamaluddin Jarjis nanti. Saya kira Soi Lek tak perlulah dilantik semula dalam cabinet menggantikan Ong ka Chuan kerana kenyataan itu sedikit sebanyak telah menyinggung perasaan orang Melayu.

Sabtu, November 29, 2008

WAN FARID CALON BN?


Pilihan raya kecil parlimen Kuala Terengganu akan diadakan dalam tempoh 60 hari mulai semalam berikutan kematian ahli parlimennya, Datuk Razali Ismail. Ini bermakna paling lambat pilihan raya kecil akan diadakan sebelum 28 Januari 2009.

Razali menang dengan majoriti 628 undi. Beliau mendapat 32,562 undi manakala calon PAS, Mohamad Sabu mendapat 31,934 undi dan calon Bebas, Maimun Yusof mendapat 685 undi.

Pilihan raya kecil ini menguji kekuatan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu yang baru, Datuk Ahmad Said. Sejauh mana kepimpinan Ahmad Said diterima sebagai Pengerusi Perhubungan. Jika BN menang, maknaya kepimpinan Ahmad Said diterima, jika BN kalah, ini bermakna rakyat Kuala Terengganu menolak kepimpinan Ahmad Said.

Ahmad Said tentu pening kepala untuk memilih calon. Paling terbaik, pilihlah Datuk Wan Farid, Timbalan Menteri Dalam Negeri sebagai calon. Beliau adalah Ketua UMNO Bahagian tetapi tidak dipilih sebagai calon oleh bekas Pengerusi Perhubungan, Datuk Seri Idris Jusoh.

Wan Farid kena letak jawatan sebagai Senator untuk bertanding. Tetapi tidak semestinya ketua bahagian yang jadi calon. Walaupun bahagian Permatang Pauh mahu ketuanya, Datuk Jalil bertanding dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 28 Ogos lalu tetapi pucuk pimpinan memilih ADUN Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah sebagai calon.

Dalam barisan ahli jawatan kuasa bahagian, selain dari Wan Farid, timbalan ketua bahagian, Sabri Alwi dan naib ketua bahagian, Datuk Wan Hisham boleh juga dipertimbangkan sebagai calon. Kemungkinan Wan Hisham agak tipis kerana dia sudah kalah di DUN Ladang. Atau Ahmad Said ada pilihannya sendiri iaitu Ketua Penerangan UMNO Terengganu, Datuk Zubir Embong sebagai calon. Zubir adalah bekas ahli parlimen Kuala Terengganu dari tahun 1986 hingga 1990.

PAS pula mungkin meletakkan Mohamad Sabu sekali lagi atau Pesuruhjayanya sendiri, Datuk Mustapha Ali untuk berdepan dengan calon BN pada pilihan raya kecil ini. Atau Syed Azman, ADUN Batu Buruk ditonjolkan ke parlimen semula. Pendek kata pilihan raya kecil Kuala Terengganu amat sengit. Siapa yang menang sudah tentu menang dengan majoriti yang kecil. Jika BN mahu menang, BN kena letak calon yang boleh diterima oleh semua penyokong UMNO dan PAS seperti yang dilakukan oleh Allahyarham Datuk Razali sebelum ini.

Oleh itu jika Wan Farid dipilih sebagai calon, risikonya tetap ada. Dapatkah Wan Farid mempertahankan kerusi parlimen Kuala Terengganu? Jika Zubir dan Datuk Roslan Awang Chik menyokong penuh Wan Farid, tidak ada masalah untuk mengekalkan kerusi Kuala Terengganu.
Dahulu ramai orang marah kenapa Ahmad Said lantik Zubir sebagai Ketua Penerangan UMNO negeri dan Roslan sebagai Bendahari UMNO negeri, sedangkan niat Ahmad Said ikhlas untuk menyatukan pelbagai puak dalam bahagian Kuala Terengganu. Jika puak-puak ini bersatu, BN tidak ada masalah untuk mengekalkan kerusi parlimen Kuala Terengganu.

TERIMA KASIH


Hari ini genap dua bulan usia blog saya. Saya ucapkan terima kasih kepada semua pengunjung yang telah menyokong saya membaca blog ini. Hari ini sudah 12,392 orang lebih yang sudi menjenguk blog saya. Ini bermakna purata bulanan ialah 6,000 orang pengunjung. Saya bangga kerana walaupun blog ini masih baru, saya mula diterima oleh tuan-tuan dan puan-puan.

Pada mulanya semua pengunjung bebas menghantar ulasan. Bila banyak sangat ulasan yang menyentuh peribadi saya, maka saya terpaksa menapisnya. Dalam pada itu ada juga yang saya lepaskan walaupun ia menyentuh peribadi saya. Saya berharap sokongan ini akan berterusan. Saya akan terus mengulas apa sahaja isu. Oleh itu jika sesiapa yang tersinggung dengan ulasan saya, saya minta maaf. Teguran ini semua adalah untuk kebaikan kita semua.

DATUK RAZALI DALAM KENANGAN


Lebih kurang pada jam 7 petang semalam saya menerima call dari Pemangku Pengarah Unit Komunikasi, Roslan Abdul Rahman mengenai kematian Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail. Ketika itu saya dalam perjalanan ke sebuah hotel di Chow Kit untuk menemui seorang Pengerusi JKKK yang rapat dengan si mati, Haji Mohamad Ali.
Saya mula mengenali Datuk Razali Ismail ketika beliau menjadi Pengetua Maktab Perguruan Pasir Panjang (MPPP) lagi pada tahun 1997. Ketika itu saya bertugas di Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPK).

Kebetulan ketika itu YPK dan MPPP menganjurkan satu program di Kg. Banggol, Setiu. Maka kami sering bertemu dalam beberapa mesyuarat sebelum program itu berlangsung. Selepas itu kariernya meningkat sehinggalah beliau menjadi Pengarah Pelajaran Terengganu.

Pada tahun 2003, saya pernah meramalkan beliau jadi calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang dalam buku saya, KENAPA PAK LAH PILIH NAJIB?. Akhirnya beliau dipilih sebagai calon parlimen Kuala Terengganu pada tahun 2004. Walaupun beliau bukan orang Kuala Terengganu kerana dilahirkan di Hulu Terengganu, tetapi beliau menang dan dipilih sebagai ahli parlimen Kuala Terengganu.

Pada mulanya beliau dilantik menjadi Pengerusi PTPTN. Pada tahun lepas, ketika menjadi Editor akhbar Warta Parlimen Kepala Batas, saya pernah sms kepadanya minta tolong beliau arahkan pegawai PTPTN segerakan pembayaran pinjaman kepada anak saya kerana lambat dua bulan sedangkan pelajar lain semua sudah dapat pinjaman. Terus dia arah pegawai yang terlibat. Bukan marah marahnya pegawai itu kepada anak saya bila dia tahu saya mengadu kepada Pengerusi PTPTN.


Pada pilihan raya umum lalu, beliau dipilih mempertahankan kerusi Kuala Terengganu. Beliau berjaya mengalahkan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam pertandingan tiga penjuru bersama calon Bebas, Hajah Maimun. Parlimen Kuala Terengganu mempunyai empat kerusi DUN. BN kalah tiga kerusi DUN tetapi parlimen masih menang. Ini menunjukkan penyokong PAS menyenangi pendekatan Datuk Razali yang melayan semua pengundi yang datang ke pejabat parlimennya tanpa mengira fahaman politik.

Menjelang pemilihan UMNO baru-baru ini, saya sempat menemuinya dengan Ketua UMNO Cawangan Kuala Ibai, Haji Mohamad Ali. Beliau berkata beliau bertanding jawatan Naib Ketua Bahagian kerana akur kepada arahan bossnya, Datuk Hishamuddin Tun Hussein yang mahu beliau ada tempat dalam bahagian.

Dalam pertemuannya itu juga dia beritahu kami bahawa Hishamuddin banyak menyerahkan tugas kementerian kepadanya. Hishamuddin tidak ragui kebolehan dan kemampuannya kerana beliau adalah bekas Pengarah Pelajaran. Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengakui bahawa beliaulah bakal Menteri Pelajaran suatu hari nanti.

Dalam pertandingan tiga penjuru itu, Datuk Razali tewas kepada Datuk Wan Hisham Wan Salleh abang Ketua Bahagian, Datuk Wan Farid. Seorang rakan minta saya tulis mengenai kekalahan Datuk Razali dalam blog saya.


Selepas tulisan itu tersiar, saya sms kepadanya dan saya suruh dia baca blog saya. Dia ucapkan terima kasih dan dia amat kecewa dengan politik wang. Sebagai timbalan menteri, sepatutnya perwakilan pilih beliau tetapi oleh kerana dia tak hulur wang, maka dia kalah.


Saya tidak sangka tulisan mengenai kekalahannya dalam blog saya itu mendapat ulasan dari 24 orang pengunjung,yang merupakan ulasan paling tinggi dalam blog saya selama ini.

Datuk Razali akan dikenang sebagai ahli parlimen yang mudah didekati dan terbukti pendekatannya yang menyebabkan BN berjaya mengekalkan kerusi parlimen Kuala Terengganu walaupun PAS menang tiga kerusi DUN dalam kawasan tersebut. Al Fatihah buat Allahyarham Datuk Razali Ismail.

Jumaat, November 28, 2008

RAHIM PERLU EMPAT PENCALONAN LAGI


Pengerusi Risda, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik yakin mempunyai harapan untuk melepasi kuota kelayakan bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan Mac depan.



''Mudah-mudahan. Saya harap mendapat empat lagi pencalonan dari lima bahagian yang ditangguhkan persidangan.



''Setakat ini saya mendapat 16 pencalonan dan saya yakin memperoleh pencalonan untuk melepasi kuota kelayakan itu," katanya.



Lima lagi bahagian UMNO yang ditangguhkan persidangan ialah Tenom di Sabah, Pengkalan Chepa dan Tanah Merah di Kelantan serta Seremban (Negeri Sembilan) dan Larut di Perak.
Abdul Rahim berkata, pemilihan kali ini begitu sengit berikutan ia merupakan satu masa yang kritikal dengan kemungkinan ramai muka baru terpilih.



Sehingga ini lapan calon telah mendapat kuota untuk bertanding iaitu Hishamuddin Hussein, Khaled Nordin, Syed Hamid Albar, Dr. Rais Yatim, Isa Samad, Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Dr. Jamaluddin Jarjis dan Shafie Afdal. Oleh itu jika semua calon diberi peluang dapat kuota seperti Rahim Thamby Chik memanglah bagus kerana biar lebih ramai calon bertanding.



Oleh itu kita doakan Rahim dapat empat pencalonan lagi. Mungkin harga semakin tinggi untuk dapatkan empat pencalonan terakhir dari lima bahagian. Bukan salah Rahim kalau Rahim hulur kerana ia mungkin menjadi demand bahagian untuk berbuat demikian.

Khamis, November 27, 2008

KEJAR DUA PENCALONAN SAHAJA


Akhirnya calon Timbalan Presiden UMNO, Muhammad Muhd Taib akui bahawa kuota adalah punca berlakunya politik wang. Sehubungan dengan itu beliau mencadangkan supaya UMNO kembali ke perjuangan asal yang menetapkan supaya dapat dua pencalonan sahaja untuk bertanding sebarang jawatan dalam UMNO.

Ini bermakna sesiapa sahaja yang dapat dua pencalonan untuk bertanding jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, mereka layak bertanding. Jika cadangan ini diterima, Ku Li tidak perlu menunggu 58 pencalonan untuk menentang Najib Tun Razak. Ku Li perlukan dua pencalonan sahaja untuk menentang Najib. Ali Rustam dan Muhammad tidak perlu mengejar 38 pencalonan untuk menentang Muhyiddin Yassin.

Soalnya, apakah Najib sanggup menerima cadangan ini kerana ternyata kuota telah menyelamatkan Dr. Mahathir dan Pak Lah dari kerusi Presiden UMNO? Jika Najib menerima cadangan ini, ini bermakna Najib adalah seorang pemimpin yang ikhlas yang mahu menghapuskan politik wang dalam UMNO.

Rabu, November 26, 2008

BERANIKAH NAJIB BUAT PERUBAHAN?


Ketua Pemuda UMNO, Hishammuddin Tun Hussein berkata, parti itu perlu membuat perubahan utama dan melihat semula strukturnya selepas pemilihan Mac depan demi pengukuhan parti tersebut.

Beliau berkata, ini penting bagi memastikan gejala seperti politik wang dan masalah disiplin anggota parti dapat diatasi.

"Isu ini (politik wang) telah dibangkitkan sering kali kita berhadapan dengan pemilihan. Untuk menanganinya secara lebih berkesan ialah melihat semula struktur parti kita.


"Ini saya percaya akan kita lakukan selepas pemilihan bulan Mac depan. Perkembangan yang positif ini mesti membenarkan kita juga melihat kepada struktur parti dalam perubahan yang ingin kita lakukan selepas Mac," katanya.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengenai usaha membanteras gejala politik wang dalam UMNO adalah satu proses yang memerlukan keazaman politik dan secara realistiknya tidak dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.


Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, perkara itu hanya boleh dilakukan dengan kemahuan politik, kemampuan yang padu dan kesungguhan daripada mereka yang diberikan tempat dalam parti selepas pemilihan Mac nanti.


"Harap selepas pemilihan nanti mungkin kita boleh tengok, khusus dari segi strukturnya, perlembagaannya, perjuangan kita yang menuntut kita melihat semula apa yang perlu kita lakukan bukan hanya dalam UMNO tetapi dalam Barisan Nasional selepas Pilihan Raya Umum Ke-12," katanya.


Jika Najib ikhlas mahu melihat UMNO bebas dari politik wang, perkara pertama yang perlu beliau lakukan selepas Mac ialah menghapuskan kuota dalam pencalonan bagi semua jawatan. Ia dikatakan menjadi punca kenapa berleluasanya politik wang.

Beranikah Najib menghapuskan kuota? Jika beliau berani ini bermakna beliau lebih hebat dari dua bekas Presiden UMNO, Dr. Mahathir Mohamad dan Pak Lah.

Selasa, November 25, 2008

TAK DAPAT ELAK TELANJANGKAN CALON KETUA WANITA


Semua pihak diminta tidak 'menelanjangkan' Pergerakan Wanita UMNO dengan menyebarkan keburukan dan fitnah terhadap Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bagi menghangatkan lagi pertandingan jawatan Ketua Wanita UMNO pada pemilihan parti itu Mac depan.


Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, persaingan sengit itu nanti dikhuatiri mewujudkan golongan yang berkempen secara agresif termasuk mengutuk, mengaibkan dan menggunakan media massa bagi memastikan pemimpin yang disokong menang.


"Hentikanlah perangai buruk seperti itu sebaliknya pertandingan mestilah berasaskan keyakinan dan keikhlasan untuk memperjuangkan nasib Melayu," katanya yang juga Exco Wanita UMNO itu.


Halimah mengulas keputusan Rafidah yang merupakan Ketua Wanita UMNO dan juga Ahli Parlimen Kuala Kangsar untuk mempertahankan jawatan itu selepas Naibnya, Shahrizat mengumumkan akan bertanding jawatan nombor satu sayap itu.


Halimah mendedahkan, golongan tersebut akan bertindak seolah-olah kumpulan pendesak yang memberi tekanan kepada Rafidah dan Shahrizat bagi menghangatkan lagi pertandingan hingga memalukan sayap wanita itu.


Justeru, katanya, perdebatan mengenai pertandingan itu perlu dihentikan kerana semua anggota dan perwakilan sayap sudah matang untuk memilih pemimpin yang benar-benar layak bagi menerajui Wanita UMNO yang menjadi tulang belakang UMNO.


Apabila berlaku pertandingan di antara Raifdah-Shahrizat, perbuatan bogel membogel di antara mereka sudah tidak dielakkan.. Tentu kita masih ingat peristiwa tahun 1996 apabila Dr. Siti Zaharah menentang Rafidah pelbagai buku memburukkkan Rafidah diedarkan.


Oleh itu apa yang ditakuti oleh Halimah tidak dapat dielakkan. Pelbagai surat layang mengenai kedua-dua calon ini akan tersebar menjelang Mac depan dan para perwakilan sudah tentu tidak akan terpengaruh dengan surat layang kerana mereka tahu menilai siapa yang layak antara Rafidah dengan Shahrizat.

Isnin, November 24, 2008

BUKAN AHLI UMNO TAK PERLU DEDAH NAMA


Saya hairan kenapa seorang calon Naib Presiden UMNO, Khaled Nordin takut Dr. Mahathir mendedahkan nama calon yang terlibat dalam politik wang. Adakah kerana dia turut terbabit dengan politik wang?



Kenapa beliau harus takut jika beliau tidak terlibat dengan politik wang. Beliau dikatakan merayu bekas Presiden UMNO itu agar memikirkan semula hasratnya untuk mendedahkan senarai nama pemimpin UMNO yang terbabit dengan politik wang.



Katanya lagi, ini kerana tindakan tersebut bakal memberi implikasi negatif yang besar kepada parti.



Yang hairannya kenapa Dr. Mahathir beriya benar mahu membuat pendedahan itu. Adakah kerana beliau takut anaknya, Mukhriz kalah dalam pertandingan ketua pemuda Mac depan.




Kononnya Khairy dan Dr. Khir dikatakan terlibat dengan politik wang walaupun ia sukar dibuktikan. Sehubungan dengan itu, jangan buat tuduhan sembarangan tanpa sebarang bukti.
Dari segi hak, Dr. Mahathir tidak berhak buat pendedahan kerana dia bukan lagi ahli UMNO. Sila masuk UMNO terlebih dahulu, barulah membuat pendedahan.

Ahad, November 23, 2008

RAFIDAH TAK FAHAM KONSEP PEMANGKU


Nampaknya Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz tidak faham dengan konsep pemangku ketua yang disebutnya semalam. Dia berkata Tun Hussein Onn pernah pangku jawatan Presiden UMNO. Dia turut kata Hishamuddin pernah pengku jawatan ketua pemuda.


Kita kena faham dengan suasana yang berlaku, Hussein Onn kena pangku jawatan Presiden UMNO kerana Tun Razak meninggal dunia pada tahun 1976. Pada pemilihan 1978, barulah beliau disahkan sebagai Presiden UMNO setelah menewaskan pencabarnya, Sulaiman Palestine.

Hishamuddin memangku jawatan Ketua Pemuda setelah Dr. Ahmad Zahid Hamidi melepaskannya selepas ditekan kerana ketika itu Dr. Zahid menyokong Anwar Ibrahim pada tahun 1998.


Rafidah tidak mati, jadi konsep pemangku ketua wanita tidak boleh digunapakai. Kecuali Rafidah mati pada Jun 2009, barulah Shahrizat layak jadi pemangku Ketua Wanita.


Dalam soal wanita ini, perhimpunan diadakan Mac 2009. Takkan Rafidah mahu serah jawatan tiga bulan kemudian kepada Shahrizat selepas pemilihan Mac. Perlu apa Rafidah jadi ketua wanita untuk tiga bulan sahaja? Lebih baik dia tidak bertanding pada Mac ini dan beri laluan kepada Shahrizat.


Adakah Rafidah ikhlas mahu menyerahkan jawatan ketua wanita kepada Shahrizat? Shahrizat yang akan dicabar oleh Kamilia jika dia tidak lawan Rafidah belum tentu menang. Jika Shahrizat kalah, adakah pada Jun 2009, Rafidah akan serahkan jawatannya kepada Kamilia? Atau dia akan kekal sehingga pemilihan akan datang.


Apa motif Rafidah mahu kekal jadi ketua sehingga Jun 2009? Walaupun dia sudah nafi tidak mahu jadi menteri, tetapi tafsiran politik buat dibuat bermacam-macam tafsiran terhadap beliau.Dr. Siti Zaharah Sulaiman yang pernah mengalahkan Rafidah pada tahun 1996 berkata belum tentu Shahrizat menang kerana sokongan akar umbi Rafidah agak kuat.


Selepas Rafidsah tidak jadi menteri, Rafidah agak lantang mengkritik Pak Lah dan pertandingan Shahrizsat dengan Rafidah dilihat pertandingan proksi antara puak Pak Lah dengan puak Dr. Mahathir.

Sabtu, November 22, 2008

MUHYIDDIN JADI MENTERI HAL EHWAL WANITA?


Pak Lah tidak menolak kemungkinan merombak kabinet ekoran perletakan jawatan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Ong ka Chuan. Walaupun dia adalah menteri dari MCA, tetapi Pak Lah membayangkan rombakan itu melibatkan semua parti komponen BN termasuk UMNO.

Heboh diperkatakan kononnya beberapa menteri yang lantang mengkritik Pak Lah akan ditukarkan ke kementerian lain. Muhyiddin Yassin yang membantah pelan peralihan kuasa pada tahun 2010 adalah salah seorang yang akan ditukarkan ke kementerian yang kurang penting.

Kuasa Muhyiddin di MITI agak besar termasuk memberi AP kepada para perwakilan UMNO. Di Hulu Terengganu, heboh seorang G7 telah menerima banyak AP tetapi bila ia diajukan soalan ini kepada pegawai kanan Muhyiddin, beliau nafikan Muhyiddin ada meluluskan permohonan AP yang baru.

Katanya, Muhyiddin tidak akan menyalahguna kuasanya semata-mata untuk menang kerusi Timbalan Presiden UMNO menentang Muhammad Muhd. Taib dan Ali Rustam.

Pak Lah tidak akan memecat Muhyiddin kerana pemecatannya dari kabinet kelak akan menimbulkan simpati para perwakilan dan ia memberi kemenangan yang mudah kepada Muhyiddin dalam pertandingan tiga penjuru ini. Oleh itu sebaik-baiknya tukarlah Muhyiddin ke Kementerian Hal Ehwal Wanita, keluarga dan Masyarakat menggantikan Dr. Ng Yen Yen.

BUKAN AHLI UMNO DILANTIK PENGERUSI MTEN?


Beberapa ahli ekonomi berpendapat cadangan melantik bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Majlis Ekonomi Negara (MTEN) adalah janggal.
Pensyarah ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah berkata, mengikut amalan, jawatan itu disandang oleh seorang Perdana Menteri sepanjang tempoh perkhidmatannya.


Katanya, majlis yang ditubuhkan ekoran krisis ekonomi 1997-1998 berperanan penting menggerakkan elemen-elemen ekonomi dan perniagaan dalam negara.


‘‘Justeru, jawatan pengerusi MTEN sangat berkait rapat dengan dasar kerajaan, politik dan kuasa.


‘‘Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk meminta bantuan dan menggerakkan elemen-elemen ekonomi tersebut,” katanya.


Beliau mengulas cadangan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman di Parlimen semalam, agar Dr. Mahathir dilantik menjawat portfolio itu berdasarkan pengalamannya memimpin negara ketika kegawatan ekonomi 1997 sehingga 1998.


Sementara itu, Presiden Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia (MICG), Datuk Seri Megat Najmuddin Megat Khas pula berkata, kepakaran Dr. Mahathir dalam bidang ekonomi memang terbukti namun tidak semestinya beliau dilantik mengetuai MTEN.


Menurutnya, Dr. Mahathir telah lama berkhidmat kepada negara dan sudah tiba masanya untuk beliau berehat.


Dr. Mahathir sudah keluar dari UMNO. Oleh itu jika dia dilantik Pengerusi MTEN memanglah sesuatu yang janggal. Tidak mungkin orang yang bukan UMNO boleh diberi jawatan tersebut.


Apatah lagi biasanya yang sandang jawatan itu adalah seorang Perdana Menteri. Ini yang anehnya cadangan ini datang dari seorang ahli parlimen UMNO yang mungkin mencari sokongan dari para penyokong Dr. Mahathir yang masih ada di kalangan perwakilan UMNO kerana Tajuddin bertanding jawatan ahli majlis tertinggi UMNO pada Mac 2009.

Jumaat, November 21, 2008

PERTEMUAN DENGAN BLOGGER DARI SABAH


Petang semalam dalam hujan lebat saya menunggu kawan saya, seorang blogger, Mubin Ismail di stesen LRT Terminal Putra. Tepat jam 6 petang dia tiba dengan kawannya. Selepas itu kami pergi ambil seorang lagi blogger, Sayuti Omar di rumahnya yang tidak jauh dari situ.

Tepat jam 7 malam kami tiba di Janda Baik, rumah Pak Habib, Syed Husein Alatas. Tetamu istimewanya, Datuk Salleh Said Keruak sudah sampai dengan tiga orang rakannya. Datuk Salleh juga seorang blogger dan bekas Ketua Menteri Sabah. Bulan lepas beliau menang semula jawatan Ketua UMNO Bahagian Kota Belud.Pak Habib memberitahu kami bahawa beliau berkawan dengan bapa Datuk Salleh, Tun Said Keruak sejak zaman USNO lagi.

Sewaktu saya di Sabah (1989-1991), Datuk Salleh agak rapat dengan saya. Ketika beliau meraikan jamuan perpisahan untuk saya, dia adakan majlis itu yang dihadiri oleh rakan-rakan wartawan, di istana. Kebetulan ketika itu bapanya, Tun Said Keruak adalah Yang Dipertua Negeri Sabah. Sejak itu kami tak pernah putus hubungan walaupun beliau sudah tidak ada kuasa lagi.

Lama juga kami berbincang bersama Pak Habib. Datuk Salleh memberi pandangan yang agak kritikal di mana beliau kecewa dengan prestasi UMNO masa kini. Baginya, UMNO perlu diperkasakan semula untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau lebih percaya kepada clear thinking daripada creative thinking. Selepas solat maghrib berjemaah di surau tepi sungai, kami berbincang di rumah. Lepas itu kami makan nasi dengan ikan talapia bakar, kambing yang menyelerakan semua tetamu di luar rumah.

Tepat jam 9.30 malam kami meninggalkan Janda Baik.Walaupun sebentar sahaja di rumah Pak Habib, kami puas hati dapat bersembang dengan Datuk Salleh yang akan bertanding kerusi ahli majlis tertinggi UMNO pada Mac hadapan.

RAFIDAH RELA KALAH DI GELANGGANG


Rafidah Aziz hari ini mengumumkan bahawa beliau akan mempertahankan jawatan Ketua Pergerakan Wanita Umno pada pemilihan parti Mac depan.


Rafidah, 65, berkata beliau menghargai dan menghormati pencalonan yang diterimanya daripada 117 bahagian Umno.


"Saya memulangkan kepada para perwakilan, yang mewakili akar umbi, untuk menentukan pemimpin yang mereka mahu untuk tempoh 2009-2011 itu," katanya dalam kenyataan setebal 11 muka surat.


Semalam, Naib Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan akan bertanding jawatan ketua pergerakan itu pada pemilihan parti Mac depan.Keputusan itu sekali gus melenyapkan pelan peralihan kuasa Wanita Umno pada Jun 2009 yang diumumkan Rafidah Ogos lepas.


Dalam kenyataan itu, Rafidah turut melahirkan kekecewaannya kerana pelan peralihan kuasa telah dipertikai dan ditolak selepas tiga bulan beliau mengumumkannya


."Semenjak tarikh itu tiada sesiapa dalam exco, atau di luar, yang telah mempertikaikannya."Bahkan Datuk Seri Shahrizat sendiri, sama ada antara empat mata, dalam exco, dan dalam sidang media, telah berkali-kali menegaskan:


a) bahawa beliau tidak akan bertanding Jawatan Ketua walaupun dicalonkan


b) beliau patuh kepada pelan peralihan


c) beliau patuh kepada nasihat pemimpin-pemimpin besar partid) bahkan beliau telah menyatakan bahawa "kata akan dikota" dan "my word is my honour." (semuanya telah disiar dalam media)," kata beliau.


Rafidah berkata beliau tidak ada sebab untuk menyangka bahawa akan berlaku pelbagai pergolakan selepas proses pencalonan selesai.Beliau berkata sebagai pemimpin yang bertanggungjawab dalam mana-mana perbincangan, sekiranya terdapat pihak yang tidak bersetuju atau membantah pelan peralihan yang dianjurkannya, perkara itu wajar dibangkitkan.


Rafidah berkata sekiranya perkara itu dilakukan sebelum proses pencalonan, maka Exco Wanita Umno pasti akan membatalkan pelan peralihan tersebut.


"Dan, saya tidak ragu-ragu akan membiarkan bahagian-bahagian mencalonkan sesiapa juga yang mereka mahukan untuk jawatan Ketua dan Naib Ketua," katanya.


Bagaimanapun, katanya, "bantahan" cuma ditimbulkan selepas mereka mendapat pencalonan yang mencukupi untuk bertanding.


"Maka barulah pihak-pihak yang berkenaan membantah dengan pelbagai alasan yang tidak berasas," katanya.


Mengenai cadangan supaya pelan peralihan itu dipercepatkan dari Jun ke Mac, Rafidah berkata itu tidak lojik.Beliau berkata jika dibuat pada bulan Mac, bererti tiada lagi "pelan peralihan", yang pada asasnya melibatkan satu jangka masa antara Perhimpunan Agung dengan tarikh penyerahan jawatan.


"Semua mengetahui bahawa pada asalnya, jangkamasa itu ialah antara bulan Januari hingga Jun 2009 kerana Perhimpunan Agung dijadualkan pada Disember 2008."


Ia telah diganjak kepada Mac, tetapi pelan peralihan kuasa tidak terjejas," katanya.Rafidah juga berkata sekiranya pelan peralihan itu "dipercepat" kepada Mac, ia juga bererti beliau menyerahkan jawatan "secara bulat-bulat" kepada Shahrizat, yang akan menang tanpa bertanding."


Ini menidakkan hak dan kemahuan 117 bahagian yang telah mencalonkan saya untuk pegang jawatan hingga Jun 2009," katanya.


Rafidah telah menerajui Wanita Umno sejak 1984, melainkan untuk satu penggal ekoran kekalahannya kepada Datuk Seri Dr Siti Zaharah Sulaiman.Beliau yang memenangi semula jawatan itu daripada Siti Zaharah pada pemilihan 2000, buat pertama kali mengumumkan pelan peralihan kuasa itu pada Ogos lepas.


Mesyuarat Exco Wanita Umno minggu lepas mengambil keputusan menyokong pelan itu dan menolak gesaan Shahrizat yang dibuatnya sehari sebelum mesyuarat itu agar pelan berkenaan diselaras dengan pelan peralihan Umno induk.


"Sekarang kerana pelan peralihan telah diingkari dan jawatan Ketua (Wanita) akan ditandingi, maka saya akan mempertahankan jawatan yang disandang sekarang," katanya.


Rafidah menyarankan agar semua pertandingan jawatan dalam Pergerakan Wanita Umno dijalankan dengan tertib, beradab, ikhlas tanpa menjejaskan sesiapa atau parti.


"Jangan sekali-kali mengada-adakan dan menabur fitnah dan pembohongan, atau membawa pecah-belah," katanya.


Rafidah tetap lawan kerana dia rela kalah di gelanggang daripada memberi laluan percuma kepada Shahrizat. Maka Shahrizat kena pastikan Rafidah tumbang. Jika tidak karier Shahrizat berakhir pada Mac depan.

SHAHRIZAT MEMANG ANAK JANTAN


Tahniah kepada Shahrizat Jalil yang telah menunjukkan kejantanannya untuk menentang Rafidah Aziz dalam pertandingan ketua wanita UMNO pada Mac depan. Saya kira ia adalah langkah yang tepat kerana beliau menyahut cabaran 73 bahagian yang mencalonkannya bagi jawatan tersebut.

Sehingga ini Rafidah belum membuat keputusan sama ada akan mempertahankannya atau berundur walaupun desakan di bawah begitu kuat supaya beliau berundur. Walaupun majoriti bahagian sebanyak 117 bahagian berpihak kepada Rafidah tetapi pada hari pengundian sebenar belum tentu Rafidah dapat mengekalkan sokongan yang sama.

Sebaik-baiknya berundurlah Rafidah jika kita benar-benar ikhlas mahu berundur. Tak perlu tunggu Jun 2009 baru nak berundur. Jika Rafidah berdegil nak pertahankan jawatan, maka lawanlah Shahrizat. Kita tengok siapa yang kuat. Inilah kali kedua Rafidah ditentang. Pada tahun 1996, Dr. Siti Zaharah Sulaiman pernah mengalahkan Rafidah dan kita nak tengok dapatkah Shahrizat mengulangi kejayaan Dr. Siti Zaharah itu?

Khamis, November 20, 2008

MENERIMA MENANTU


Saat yang paling bahagia selepas bergelar suami ialah apabila isteri melahirkan anak sulung. Saat paling bahagia selepas menjadi ayah apabila menerima menantu sulung. Saya tidak terkecuali rasa amat seronok menerima menantu pada hari Sabtu, 15 November lalu.

Majlis akad nikah anak sulung saya, Siti Zuhairatun, 26, diadakan di masjid Taman Melati, Kuala Lumpur. Oleh kerana pengantin lelaki meminta majlis akad nikah diadakan di Kuala Lumpur, maka ia diadakan di masjid yang berdekatan dengan rumah anak saya.

Kenduri sebenar akan diadakan pada hari Sabtu, 13 Disember di rumah kami di Taman Mohd. Noor, Chukai, Kemaman. Oleh itu kepada semua rakan-rakan yang terbaca kolum ini saya jemput datang ke Kemaman pada bulan hadapan. Saya jemput semua rakan-rakan yang pernah belajar dengan saya di Sekolah Kebangsaan Pusat Dungun (1966-1967), Sekolah Kebangsaan Banggol Peradong, Kuala Terengganu(1968-1971), Maktab Rendah Sains MARA, Seremban(1972-1976), Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu (1977-1978), Maktab Adabi Terengganu (1979) dan Universiti Malaya (1980-1983).

Juga saya jemput rakan-rakan yang pernah bekerja dengan saya di FELCRA(1983-1986), Kumpulan Karangkraf (1987-1992), Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (1997-2001), Perbadanan Nasional Berhad (2001-2002),Terengganu Bestari (2006), Warta Parlimen Kepala Batas (2007-2008) dan akhbar WATAN (kini) datang ke Kemaman pada hari tersebut.

Dalam zaman siber ini, nak hantar kad satu persatu memang tidak ada masa . Cara menjemput kenduri pun sudah berubah sama ada melalui e mail atau sms. Oleh itu kepada rakan-rakan lama yang pernah belajar dan bekerja setempat dan sewaktu dengan saya bolehlah hubungi saya untuk pengesahan kehadiran pada 13 Disember ini. Hubungi handphone saya atau sms saya kepada nombor 0139419072.

Sewaktu mengadakan majlis akad nikah dan minum petang di rumah adik saya di Taman Melawati pada 15 November lalu, saya jemput ramai juga rakan-rakan tetapi ramai yang tak dapat datang termasuk rakan-rakan sepejabat yang ada deadline.

Saya sendiri pun terpaksa datang ke pejabat sebelah pagi dan jam 5 petang selepas selesai majlis, kena datang semula ke pejabat. Begitulah sibuknya bekerja dengan suratkhabar. Anak nikah pun tak ada masa nak ambil cuti.

Saudara mara yang berada di Kuala Lumpur ramai yang datang termasuk dua pupu saya, bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Haji Ahmad Haji Ismail. Apabila ada kenduri nikah begini, baru dapat bertemu dengan saudara mara. Dua pupu saya, Norehan yang bekerja di CIMB Pandan Jaya sudah 20 tahun tak jumpa. Saya baru terjumpa nombor handphonenya. Dia datang dengan anak-anaknya yang sudah besar dan dulu bukan main langsing tubuhnya kini tubuhnya masya Allah, sihat betul.

Ramai saudara mara kecil hati kerana tak jemput mereka ke majlis akad nikah itu. Sebenarnya jamuan sebenar akan diadakan di Kemaman bulan hadapan. Jadi semua saudara mara saya yang berada di semua negeri akan dijemput ke majlis tersebut.

Menantu saya, Hairul Faizal bekerja di Hospital UKM, Cheras. Kenduri sebelah pengantin lelaki akan diadakan di rumah bapanya di Batu Gajah, Perak pada hari Ahad, 28 Disember 2008.


Akhirnya anak saya memilih orang Perak sebagai suaminya. Saya dan isteri merestui pilihannya. Yang penting biar mereka berdua bahagia hingga ke anak cucu. Saya tak memilih sangat orang mana yang jadi menantu saya asalkan pilihan itu menyenangkan anak kami.

Rabu, November 19, 2008

SATU KEMATIAN




Setiap manusia yang hidup pasti mati. Oleh itu terimalah kematian sebagai satu ujian dari Allah. Apatah lagi yang mati itu adalah orang yang terdekat dengan kita.

Saya menerima berita kematian datuk saudara saya pada hari Isnin ,10 November lalu dengan tenang. Tidak seperti menerima berita kematian bapa saya enam tahun lalu dengan lelehan air mata. Saya terkilan kerana bapa saya tidak pernah sakit. Tiba-tiba saya menerima berita kematian bapa sewaktu sedang mengikuti perhimpunan agung UMNO pada tahun 2002 yang mana Dr. Mahathir tiba-tiba mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri dan dipujuk oleh ahli-ahli majlis tertinggi UMNO supaya menarik balik perletakan jawatan tersebut.

Bapa saya meninggal dunia setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika menunggang motorsikal ke surau di kampung pada petang tersebut.

Isnin lalu, ayah sepupu saya, Abang Mat call saya pada jam 9.30 pagi memaklumkan datuk saudara saya, Haji Abu Bakar bin Yusof, seorang jurunikah di Bukit Goh, Kuantan baru sekejap meninggal dunia kerana terjatuh di biliknya ketika mahu pakai seluar.Hari itu dia mahu pergi ke Pejabat Tanah Kuantan untuk uruskan tukar milik tanah

Sebenarnya Haji Abu Bakar adalah adik nenek saya. Oleh kerana saya dibesarkan oleh nenek saya yang mana saya dianggap anaknya, maka Haji Abu Bakar saya anggap sebagai bapa saudara sendiri yang saya panggil Ayah Ngah Bukit Goh.

Kali terakhir saya menemui Ayah Ngah pada hari raya keempat lalu. Dia bersungut kerana saya datang lambat. Biasanya pada hari raya pertama atau kedua saya sudah muncul di rumahnya. Saya muncul pada jam 6 petang. Banyak kali saya panggil namanya. Saya ingatkan tiada orang di rumah. 10 minit kemudian Ayah Ngah muncul dari biliknya. Dalam usia 82 tahun Ayah Ngah kurang sihat tapi masih mampu berjalan perlahan-lahan. Petang itu emak saya yang uzur turut datang menziarahi Ayah Ngah.

“Lama betul tak tengok Ayah Ngah,” kata emak saya yang terpaksa tinggal di Kuala Lumpur selepas kematian ayah. Emak saya tidak dapat hadiri majlis pengkebumian Ayah Ngah dan mewakilkan saya dan adik saya, Mahir.

Biras Ayah Ngah, Che Da yang tinggal di Kemasik adalah kakak kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said. Ini bermakna adik ipar Ayah Ngah, arwah Ustaz Husein adalah abang ipar Ahmad Said. Sewaktu kecil Abang Mat, anak Ayah Ngah duduk di rumah emak Ahmad Said di Teluk Kalung. Mereka berdua adalah rakan sepermainan yang mana kedua-duanya bernama Ahmad. Ahmad Said dan Ahmad Abu Bakar.

Oleh kerana hari itu adalah hari deadline, saya tak dapat meninggalkan pejabat pagi itu. Jika saya terus bertolak ke Kuantan pagi itu saya sempat melihat jenazah Ayah Ngah dikebumikan pada jam 5 petang. Jenazahnya lambat dikebumikan kerana menanti anak-anaknya yang bekerja di Kelantan sampai. Jam 5 baru kami bertolak ke Kuantan dengan. Dalam kesesakan jalan raya, jam 6.45 petang baru kami melepasi tol Gombak

Kami tiba di Bukit Goh tepat jam 9.45 malam. Ketika itu sepupu saya, Abang Nawawi sekeluarga baru tiba dari Kajang. Dia baru pencen dengan KTM. Sepupu saya dulu kaki rugged. Selepas nikah dengan saudara kami juga, dia masuk dakwah. Dulu Abang Awi mirip kepada Darul Arqam.

Begitu juga adik mak saya, Che Da baru sampai dari Kuala Ketil, Kedah dengan suaminya, Syed Saripuzen. Orang jauh sampai lebih awal dari kami.

Bila ada kematian begini, baru kami dapat bertemu dengan saudara mara yang jauh. Kalau tidak memang susah mahu berjumpa. Saya tak sempat menemui dua pupu dari Paloh, Kuala Terengganu, Radzi, Kamal dan Nasir yang tiba lebih awal di Bukit Goh.

Zaman sudah berubah. Kalau zaman dulu, ada kematian dan nikah kahwin, kami biasanya tidur dua tiga malam di rumah saudara yang menghadapi kematian dan pernikahan itu.

Tetapi kini masa sudah berubah. Semua sudah ada kenderaan. Walau pun datang jauh, malam itu kami tetap pulang ke destinasi masing-masing. Ini yang menyebabkan kami semua lebih mesra sesama sepupu kami sedari kecil sedangkan anak-anak kami sudah tidak mesra lagi dengan pupu-pupu mereka kerana mereka tidak ada peluang untuk berinteraksi selama dua tiga hari. Mengenang kembali zaman dulu, saya amat rindukan saat-saat itu!